BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, June 15, 2010

BLOGGER

Satu elemen yang mencorakkan landskap politik Malaysia ialah peranan yang dimainkan oleh web blogs atau blogs. Wahana yang pada mulanya tempat berinteraksi sosial menjadi senjata baru dalam perang menawan hati dan perasaan. Pada masa ini dianggarkan lebih 500,000 pemilik blog atau bloggers di negara ini, sebahagian kecilnya terlibat dalam politik. Tetapi pengaruh mereka tidak boleh diambil mudah. Di dalam buku Blogging and Democratisation in Malaysia: A New Covil Society in the Making, Jun-E Tan dan Zawawi Ibrahim melihat fenomena blogging secara ilmiah sambil mengingatkan pembaca tentang pengaruh bloggers sebagai "thought leaders" (secara mudah pemimpin minda) bagi generasi baru. Kelompok yang dipanggil "socio-political bloggers" ini mulai mencorakkan agenda pemikiran politik. Sebahagian besar dari dua juta bakal pengundi baru pada tahun 2013 merupakan mereka yang biasa dengan alam blogging.

Bagi generasi baru ini maklumat tidak datang dari media arus perdana sahaja. Malah penolakan langsung terhadap media arus perdana yang dikatakan pro-pemerintah menyebabkan mereka mencari pilihan lain. Apapun yang tersiar dalam media arus perdana dianggap tidak benar atau propaganda. Maka itu mereka mencari media alternatif sebagai sumber maklumat walaupun kredibiliti sumber itu boleh dipertikaikan. Bagi banyak pihak kemunculan suara alternatif melalui kegiatan blogging ini mencerminkan kematangan proses demokrasi negara. Maklumat bukan lagi monopoli mana-mana pihak. Kebebasan bersuara menjadi kenyataan akibat kegiatan blogging. Ini proses yang dimahukan dalam usaha melahirkan masyarakat cerdik, celik dan terbuka. Malah inilah sebenarnya prasyarat sebuah masyarakat sivil. Bagi yang lain Internet menjadi alam bebas di mana anarki bermaharajalela. Siapapun boleh menyatakan pandangan atau mengecam. Malaysia telah berjanji pada dunia bahawa kita tidak akan menyekat atau menapis Internet. Ini termaktub dalam Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia tahun 1998. Maka itu bagi mereka yang tidak bertanggungjawab, Internet akan menjadi medan menghina, mengecam dan memfitnah.

Tahun 1999 menjadi titik tolak penting bagaimana ICT mengubah pola berkempen dalam pilihan raya. Internet menjadi senjata berkesan bagi penentang kerajaan menyampaikan berita dan maklumat kepada umum. Internet menjadi sumber utama di mana bahan dimuat-turun dandiedarkan secara meluas. Mangsa sasaran bahan ini ialah Perdana Menteri dan kerajaan. Kerajaan tidak berganjak dengan meneruskan Agenda ICT. Kementerian Pelajaran menjadikannya agenda penting memperkasa sekolah di bawah kelolaannya. Pilihan Raya Umum 2008 sekali lagi memperlihatkan bagaimana Internet menjadi wahana menyebar berita dan maklumat. Cuma kali ini, apa yang satu waktu dianggap kecil yakni 'blog' memberikan impak yang tersendiri. Sama ada pengaruh blog dan mereka di belakangnya, bloggers, dibesar-besarkan itu isu yang lain. Tetapi blog politik ternyata mempunyai kesannya dalam mempengaruhi sebahagian pengundi. Apa yang penting ialah blog tidak lagi boleh diketepikan sebagai alat berkempen`yang penting. Hari makin hari, pengguna Internet semakin bertambah dengan banyak. Daripada jumlah 3.7 juta pengguna pada tahun 2000, pada tahun 2005 terdapat 10 juta pengguna Internet. Di ambang Pilihan Raya Umum Ke- 12, terdapat 13.5 juta pengguna Internet di negara ini. Jumlah ini hampir separuh rakyat negara. Keadaan itu menyebabkan lebih lima bilion tapak web di alam siber hari ini, 70 juta adalah blog. Kewujudan itu menyebabkan di Malaysia mempunyai lebih 500,000 bloggers, sebahagiannya berbuat demikian untuk tujuan sosial. Blog politik dan bloggers yang sekali-sekala memberikan pendirian politik dipercayai hanya lima peratus dari bilangan itu. Hanya terdapat kira-kira 50 orang yang dianggap blogger politik yang serius dan sepenuh masa di negara, dari jumlah itu hanya kira-kira 20 orang yang terkenal dan `digeruni.' Blog murah dan berkesan. Ia menjadi tarikan generasi muda.

Dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia yang harus menangani isu sensitiviti pelbagai kaum, budaya, agama dan adat resam, maka pengamal media harus bijaksana menggunakan kebebasannya. Ini termasuklah pengguna alam siber dan bloggers. Dunia siber bukan dunia tanpa undang-undang dan peraturan. Ia tidak harus menjadi dunia koboi di mana lawlessness bermaharajalela. Kebebasan itu tidak harus disalahgunakan. Tidak ada perlindungan pada pengguna Internet untuk menyebarkan fitnah dan hasutan. Banyak negara tidak perlu mendaftar bloggers. Tetapi apapun peraturan yang membabitkan akta, peruntukan undang-undang mengenai fitnah atau libel boleh dikenakan pada mereka yang melanggarnya. Tidak ada sesiapa yang berada di atas undang-undang, baik pemimpin, editor, wartawan, juga bloggers. Lebih penting lagi ialah kebebasan di Internet itu seharusnya menjadi titik tolak untuk menunjukkan kematangan rakyat dalam menangani kebebasan. Ini peluang terbaik untuk berdialog cerdik, untuk berhujah secara terbuka dan rasional dan untuk membuktikan bahawa kita memanfaatkan medium itu secara waras dan bijaksana.

Dikaut dari buku: Undang-Undang dalam Komunikasi Oleh :Marzura Ibrahim,Azahar Kasim

Adibah Ismail;Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE);Universiti Utara Malaysia;Sintok • 2009

0 comments: