BAB DUA
DASAR-DASAR KOMUNIKASI
OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda akan dapat:
1. Mengetahui tentang Dasar Wawasan Negara.
2. Mengetahui mengenai Dasar Teknologi Maklumat dan
Komunikasi dengan lebih jelas.
3. Memahami dengan lebih jelas mengenai Dasar Bahasa dan Dasar
Budaya Kebangsaan.
2.1 DASAR WAWASAN NEGARA
Malaysia telah bergerak jauh sejak lima tahun pertama rancangan
sosioekonominya yang menentukan langkah dan hala tuju bagi
pembangunan negara. Berpandukan kejayaan dalam melaksanakan
rancangan lima tahun yang berikutnya serta Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang merentasi tempoh dua puluh lima tahun semenjak 1970, kini
Malaysia bergerak ke arah fasa baru yang lebih mencabar dalam
pembinaan negara. Hari ini, berpandukan Wawasan 2020, Malaysia
disasarkan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Pencapaian tersebut bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari segi
politik, sosial dan kerohaniannya.
Suatu wawasan yang dikongsi bersama sememangnya merupakan
prasyarat kritikal bagi kejayaan membina negara. Wawasan merupakan
suatu imej mental tentang keadaan masa hadapan yang boleh dianggap
secara jelas sebagai lebih baik atau lebih menarik berbanding dengan
keadaan sekarang. Wawasan berperanan sebagai suatu matlamat atau idea
yang diharapkan, iaitu dilihat sebagai sesuatu yang berfaedah untuk
diusahakan. Wawasan memberikan panduan kepada hala tuju yang
diperlukan oleh sesebuah negara untuk bergerak, samalah seperti satu
destinasi yang dikenal sebagai petunjuk kepada sesuatu perjalanan.
Wawasan yang baik definisinya memberi fokus dan petunjuk kepada
perumusan program semasa dan turut menghubungkan tindakan semasa
dengan kejayaan matlamat masa hadapan. Suatu wawasan bersama
berperanan sebagai magnet dengan menyatukan kepelbagaian kuasa di
dalam sesebuah negara menuju matlamat yang sama. Oleh yang demikian,
16
wawasan itu hendaklah berinspirasi dan membantu untuk membentuk
aspirasi nasional yang dikongsi bersama. Negara yang rakyatnya tidak
terikat antara satu sama lain atau tidak dipandu oleh sesuatu wawasan
bersama telah sedia maklum berada dalam keadaan terumbang-ambing
seperti kapal tanpa kemudia di tengah lautan. Oleh itu, dalam proses
membina negara, tugas penting kepimpinan ialah membentuk suatu
wawasan yang dikongsi bersama (Ahmad Sarji, 2003).
Dasar Wawasan Negara atau lebih dikenali sebagai Dasar Wawasan 2020
telah diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun
Dr. Mahathir Mohamad pada majlis pelancaran penubuhan Majlis
Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991. Dasar Wawasan 2020
merupakan satu dasar khas bagi melonjakkan perkembangan ekonomi,
sosial dan politik sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.
Wawasan ini diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja
mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi
perjalanan jauh yang akan ditempuh negara. Melalui wawasan ini,
matlamat terakhir yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi
sesebuah negara bangsa Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun
2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan hanya terhad kepada bidang
ekonomi sahaja, malahan akan merangkumi segala aspek kehidupan
seperti ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan
menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari,
progresif dan makmur. Rakyat Malaysia akan menikmati kehidupan yang
sempurna dalam sesebuah masyarakat yang demokratik, bertoleransi,
bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan
yang tinggi. Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan Malaysia
yang akan menjadi sebuah negara maju dengan caranya tersendiri tanpa
mengikut cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang
dicitakan-citakan merupakan kemajuan sempurna yang tidak diukur
semata-mata dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal, malahan meliputi
perwujudan sebuah masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan
etika yang tinggi dan boleh diteladani. Oleh itu, objektif yang digariskan
dalam Wawasan 2020 hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia dapat
menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan atau rintangan yang
dianggap sebagai cabaran.
17
Jadual 2.1: Wawasan 2020 – Cabaran dan Strategi Pelaksanaannya
Cabaran Ciri-Ciri Strategi Pelaksanaan
1. Membina bangsa Malaysia
yang bersatu padu
Mewujudkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada
rakyat berbilang kaum yang memiliki matlamat
serupa untuk melahirkan bangsa Malaysia yang:
• Menjadikan Malaysia sebuah negara aman.
• Berintegrasi di peringkat negeri.
•Wujud integrasi kaum.
• Bekerjasama antara kaum.
• Setia dan dedikasi terhadap negara.
• Sekolah Wawasan, iaitu perkongsian
kemudahan antara sekolah kebangsaan
dengan sekolah kebangsaan dengan sekolah
jenis kebangsaan diperkenalkan.
• Program Khidmat Negara diperkenalkan
kepada remaja berumur 18 tahun untuk
memupuk semangat patriotik, selain
semangat perpaduan.
2. Membina masyarakat
berjiwa bebas, tenteram dan
berkeyakinan
Rakyat Malaysia diharapkan:
• Berjiwa bebas.
• Tenteram.
• Berkeyakinan terhadap keupayaan diri.
• Gagah menghadapi pelbagai cabaran.
• Tidak mengalah kepada sesiapa.
• Memperkenalkan cogan kata ‘Malaysia
Boleh’ pada tahun 1990 sebagai pendorong
untuk meningkatkan keyakinan diri rakyat.
3. Memupuk dan membina
masyarakat demokratik yang
matang
Melahirkan masyarakat Malaysia yang:
• Mengamalkan satu bentuk persefahaman yang
matang.
• Mengamalkan demokrasi.
• Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN)
yang merupakan forum untuk
perbincangan pendapat rakyat berkenaan
dasar ekonomi diperkenalkan kerajaan.
17
18
4. Mewujudkan masyarakat
yang bermoral dan beretika
Rakyat Malaysia memiliki:
• Nilai kukuh dalam agama.
• Nilai moral dan etika yang tinggi.
• Penekanan mata pelajaran Pendidikan
Moral dan Pendidikan Islam terhadap
pelajar.
5. Mewujudkan masyarakat
yang matang, liberal dan
bertoleransi
Mewujudkan masyarakat yang:
• Liberal dan bertolak ansur.
• Bebas mengamal adat dan kebudayaan
tersendiri.
• Mementingkan kesetiaan kepada negara kita.
• Program ‘Citrawarna’ yang diadakan setiap
tahun menonjolkan kebudayaan negerinegeri
berbeza, selain meningkatkan sektor
pelancongan negara.
6. Membina masyarakat yang
maju dan saintifik
Mewujudkan masyarakat yang:
Memiliki daya perubahan tinggi
Menyumbang kepada kemajuan sains dan
teknologi masa depan
• Mengadakan projek mega, iaitu Koridor
Raya Multimedia (MSC) bagi menyediakan
masyarakat ke arah negara maju.
• Program Sekolah Bestari, iaitu setiap
sekolah dapat dihubung oleh Rangkaian
Kawasan Tempatan (LAN) dan
menghubungkan Rangkaian Kawasan
Meluas (WAN) ke sekolah lain bertujuan
untuk melahirkan masyarakat celik
komputer.
• Mata pelajaran teknologi maklumat (untuk
peperiksaan SPM) disediakan sebagai
langkah mewujudkan lebih banyak sumber
tenaga mahir dalam ICT.
18
Sambungan Jadual 2.1
19
• Bidang teknik dan vokasional serta
politeknik berteraskan kemahiran
ditambah.
• Menggalakkan penyelidikan dan
pembangunan (P&P) bagi
mempercepatkan usaha kita daripada
terlalu bergantung pada teknologi luar.
negara.
7. Mewujudkan masyarakat dan
budaya penyayang
Mewujudkan masyarakat yang mengutamakan
budaya penyayang, iaitu:
• Kepentingan masyarakat lebih diutamakan.
• Mementingkan kebajikan semua insan.
• Mempunyai sistem kekeluargaan yang kukuh.
• Dalam rancangan ‘Malaysia Hari Ini’ di
TV3, segmen ‘Jejak Kasih’ diadakan.
• Hotline 8003040 diadakan untuk
membantu mangsa-mangsa penganiayaan.
• Rang Undang-undang Keganasan Rumah
Tangga 1955 diluluskan untuk membantu
mangsa rumah tangga.
• Yayasan Penyayang Malaysia (CARE) dan
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
(PERKIM) menyediakan tempat tinggal
dan pembiayaan untuk anak-anak yatim.
8. Menjamin masyarakat yang
adil dan saksama
ekonominya
Masyarakat yang:
• Melaksanakan pengagihan kekayaan negara
secara adil dan saksama.
• Tumpuan diberi kepada pembangunan
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian
Bumiputra (MPPB) agar meningkatkan
19
Sambungan Jadual 2.1
20
• Perkongsian dalam bidang ekonomi.
• Tidak wujud pengenalan kaum mengikut
fungsi ekonomi.
taraf ekonomi mereka memandangkan
kebanyakan Bumiputera merupakan
golongan yang ketinggalan dari segi
sosioekonomi.
9. Memupuk dan membina
masyarakat makmur
Mewujudkan masyarakat makmur dan
mempunyai:
• Ekonomi berdaya saing.
• Dinamik.
• Kental.
• Penggunaan gantian optik oleh Telekom
Malaysia untuk memberi perkhidmatan
lebih berkesan kepada masyarakat.
• Sistem LRT (Light Railway Transit) dan
Monorel diwujudkan untuk meningkatkan
taraf hidup rakyat.
20
Sambungan Jadual 2.1
21
Rajah 8.1 Wawasan 2020 dan cabaran-cabarannya (Ruslan, Mohd Mahadee &
Zaini, 2005)
2.2 PERSPEKTIF MALAYSIA ABAD KE-21
Dengan membuat sasaran tahun 2020 sebagai tarikh Malaysia akan
mencapai status negara maju setanding dengan negara lain, maka pada
abad ke-21, kerajaan Malaysia telah merencanakan beberapa dimensi bagi
memandu Malaysia amnya dan masyarakat khasnya dalam mengharungi
cabaran-cabaran yang sedang dan bakal dihadapi dalam abad ini.
Wawasan 2020
Matlamat
Menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang maju
berasaskan acuan sendiri setanding dengan negara
maju di dunia
Membina bangsa Malaysia
yang bersatu padu.
Cabaran 1
Memupuk dan membina
masyarakat makmur.
Cabaran 9
Membina masyarakat
berjiwa bebas, tenteram
dan berkeyakinan.
Cabaran 2
Memupuk dan membina
masyarakat demokratik
yang matang.
Cabaran 3
Mewujudkan masyarakat
yang bermoral dan
beretika.
Cabaran 4
Mewujudkan masyarakat
yang matang, liberal dan
bertoleransi.
Cabaran 5
Menjamin masyarakat yang
adil dan saksama
ekonominya.
Cabaran 8
Mewujudkan masyarakat
dan budaya penyayang.
Cabaran 7
Membina masyarakat yang
maju dan saintifik.
Cabaran 6
22
Antara dimensi baru yang bertujuan untuk meningkatkan keutuhan serta
daya saing negara dan masyarakat ialah:
(i) Membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai
masyarakat yang berasaskan pengetahuan.
(ii) Menjana pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan
dalam negeri.
(iii) Menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih
dinamik.
(iv) Membasmi kemiskinan di kalangan kelompok kecil yang miskin.
(v) Mencapai penyertaan Bumiputera yang berkesan dalam ekonomi
utama dan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30% menjelang
tahun 2020.
(vi) Mengorientasikan semula pembangunan sumber manusia bagi
menyokong pembentukan masyarakat yang berasaskan
pengetahuan.
(vii) Membina bangsa yang berdaya tahan.
(viii) Menggalakkan pengwujudan masyarakat yang adil dan saksama.
(ix) Mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
(x) Meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
(xi) Membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
(xii) Meneruskan pembangunan alam sekitar yang mapan.
SOALAN DALAM TEKS
1. Berikan DUA (2) cabaran dan matlamat
perlaksanaan Dasar Wawasan 2020 yang telah
diperkenal oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
2. Nyatakan dimensi baru dalam meningkatkan
keutuhan dan daya saing negara dan masyarakat
dalam perspektif Malaysia abad ke 21.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
Cuba anda fikirkan kesan perlaksanaan cabaran dalam
Dasar Wawasan 2020.
23
2.3 DASAR BAHASA DI MALAYSIA
Dasar bahasa tidak dapat dipisahkan daripada proses pembinaan negara.
Bagi negara pelbagai bangsa dan bahasa, proses pembinaan negara
merupakan agenda sosiobudaya dan sosiopolitik yang penting. Seringkali
dasar bahasa boleh menjadi alat penting untuk membentuk integrasi
politik dan tamadun tinggi tetapi sering kali juga dasar bahasa menjadi
punca krisis politik dan budaya yang boleh mengancam kemajuan bangsa
dan negara sekiranya dasar itu tidak diuruskan dengan bijaksana.
Setiap negara di dunia mempunyai dasar bahasa, ada yang bertulis,
misalnya termaktub dalam Perlembagaan Negara atau ditakrifkan melalui
undang-undang tertentu bahasa dan ada yang tidak bertulis. Sama ada
dasar bahasa itu bertulis atau tidak bertulis, tujuannya harus jelas. Antara
tujuan asas dasar bahasa diwujudkan ialah:
(i) Untuk dijadikan alat perpaduan bangsa atau negara atau sebagai
lambang jati diri negara.
(ii) Untuk menyelesaikan masalah kecekapan komunikasi di peringkat
pentadbiran negara, terutama di negara pelbagai bahasa.
(iii) Untuk dijadikan alat pembangunan atau kemajuan negara dalam
berbagai-bagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, teknologi,
budaya dan ilmu.
(www.tranungkite.net/lama/bos/dasarbahasa.pdf)
Apa yang boleh dikatakan di sini ialah ketiga-tiga tujuan dasar bahasa ini
kebiasaannya didorong sama ada secara sedar atau tidak oleh kesedaran
dan semangat kebangsaan (nasionalisme) atau boleh jadi juga ditentukan
melalui perundingan politik seperti yang berlaku di Malaysia dalam tahun
1956 apabila dasar bahasa yang kita warisi hari ini diterima melalui proses
yang disebut tolak ansur antara kaum.
Dalam kaedah politik ini unsur nasionalisme Melayu memainkan peranan
penting sebagai penggerak tuntutan supaya bahasa Melayu dikembalikan
kedaulatannya sebagai bahasa pemerintahan di negara yang merdeka
menggantikan kedudukan bahasa Inggeris. Tiada siapa yang dapat
menentang tuntutan ini kerana sejarah dan kekuatan sosiobudaya bahasa
Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan di seluruh rantau Nusantara
atau Gugusan Pulau-pulau Melayu sejak ratusan tahun lamanya, sebelum
Tanah Melayu dan Dunia Melayu dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, menjadi
bukti kukuh untuk mengesahkan tuntutan itu. Kepentingan politik
misalnya mengenai soal kerakyatan, bahasa dan budaya bangsa-bangsa
lain yang menginap di Malaysia diterima oleh orang Melayu. Inilah asas
tolak ansur dalam pembentukan dasar bahasa di Malaysia.
24
2.4 DASAR BAHASA DI MALAYSIA: CIRI-CIRI UTAMANYA
Ciri-ciri utama Dasar Bahasa di Malaysia dapat kita ringkaskan seperti
berikut:
(i) Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan negara
(ii) Bahasa kebangsaan ini hendaklah digunakan untuk tujuan rasmi
kerajaan.
(iii) Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua
sekolah kebangsaan dan dijadikan mata pelajaran wajib untuk
lulus peperiksaan PMR dan SPM.
(iv) Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di institusi
pengajian tinggi awam.
(v) Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di sekolah
jenis kebangsaan yakni sekolah yang tidak menggunakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar utamanya.
(vi) Bahasa Inggeris diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di semua
sekolah.
(vii) Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, semua institusi pengajian
tinggi swasta (yang mula dirangkumkan ke dalam sistem
pendidikan kebangsaan) hendaklah menggunakan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantarnya tetapi Menteri
Pendidikan diberi kuasa untuk mengecualikan peruntukan ini,
yakni membenarkan institusi pengajian tinggi swasta
menggunakan bahasa lain sebagai bahasa pengantarnya.
(viii) Di luar bidang urusan rasmi kerajaan, tiada siapa pun dilarang
menggunakan atau mengajarkan atau mempelajari bahasa-bahasa
lain dan kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri berhak
mengekalkan dan memelihara penggunaan dan pengajian bahasa
mana-mana kaum di negara ini.
Seperti yang disenaraikan di atas adalah dasar bahasa di Malaysia
sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal
152, dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan berdasarkan undangundang
pendidikan kebangsaan sejak Akta Pelajaran (pendidikan) tahun
1957 (yang menggantikan Education Ordinance 1950 ciptaan British) hingga
ke Akta Pendidikan tahun 1996) oleh Dato Dr. Hassan Ahmad dalam
ucapannya yang bertajuk dasar bahasa dan pembangunan negara
(www.tranungkite.net/lama/bos/dasarbahasa.pdf).
25
SOALAN DALAM TEKS
3. Apakah tujuan asas dasar bahasa diwujudkan?.
4. Berikan LIMA (5) ciri-ciri utama Dasar Bahasa di
Malaysia.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
2.5 DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN 1971
2.5.1 Pengenalan
Kebudayaan merujuk kepada keseluruhan cara hidup manusia. Ia
berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia di
mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang
dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan
politik. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan
semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.
Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti
Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan
perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang
bersifat kemalaysiaan. Perancangan kebudayaan ini harus menentukan
sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan
ketahanan negara.
Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi
sesebuah negara membangun yang mempunyai penduduk berbilang kaum
seperti Malaysia. Dasar ini akan dapat menjadi garis panduan dalam
membentuk, mewujudkan dan mengekalkan identiti negara di kalangan
dunia antarabangsa.
Penggubalan dasar ini dibuat dengan menimbangkan fakta-fakta
perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat
pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun
yang lalu. Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan telah melahirkan
proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur
yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini daripada palbagai unsur
kebudayaan dunia.
26
Justeru sebagai satu proses yang berterusan, pengwujudan kebudayaan
kebangsaan akan terus berlandaskan tiga prinsip yang ditetapkan oleh
kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan, iaitu:
1. Berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini
Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina,
Singapura, Brunei, Negara Thai dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan
Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi merupakan
bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini
merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan kebudayaan
Melayu sejak zaman-berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan
keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (lingua franca).
Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di
bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu-Austronesia,
kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan
nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara
hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200
juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama.
Oleh yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian
sempit atau luasnya kebudayaan Melayu, telah dijadikan teras kepada
kebudayaan kebangsaan.
2. Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar
Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah melalui
proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini
bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi
pelbagai budaya. Dengan itu, unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan
lain-lain yang sesuai dan wajar diberi pertimbangan dan penerimaan
dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan. Kesesuaian penerimaan
dalam penyerapan ini bergantung pada tidak wujudnya percanggahan
dengan Perlembagaan Persekutuan dan prisip-prinsip Rukun Negara dan
kepentingan nasional serta asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya
dan Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
3. Islam menjadi unsur penting
Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam
proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak
dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia
dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak emosi
dan fizikal. Justeru, ia patut menjadi unsur yang penting dalam
pembentukan kebudayaan kebangsaan, memandangkan kedudukannya
sebagai agama rasmi negara di samping telah wujud fakta sejarah dan
27
nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat
rantau ini.
Pembangunan kebudayaan kebangsaan bagi negara-negara yang baharu
merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil
dan bersatu padu.
Dengan itu, usaha-usaha pembentukan kebudayaan kebangsaan Malaysia
bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting, iaitu:
(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan.
(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh
daripada kebudayaan kebangsaan.
(iii) Memperkaya dan meningkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan
kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.
Antara strategi pelaksanaan dasar ini ialah:
(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah
menguatkan asas-asas kebudayaan kebangsaan melalui usaha sama
penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan
perhubungan budaya.
(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha
membimbing dan melatih peminat, mendokong dan
menggerakkan kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera
pembangunan yang berkesan.
(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran
kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia.
(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya.
(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.
Di samping Kementerian Keseniaan, Kebudayaan dan Warisan,
penglibatan pihak lain juga penting dalam pelaksanaan dasar ini. Agensi
lain termasuklah kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan
pusat, kerajaan-kerajaan negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta
serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan. Peranan Kementerian
Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan dalam pelaksanaan matlamat dan
strategi dasar ini amatlah penting.
Kementerian ini bertanggungjawab menguruskan penyelidikan,
pembangunan dan penggalakkan, pendidikan dan pengembangan
kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan.
Usaha-usaha ini dicapai melalui aktiviti pembangunan, persembahan seni
oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urusetia
perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri,
28
khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan kebudayaan dan
kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.
Peranan kementerian/jabatan, kerajaan-kerajaan negeri dan badan-badan
berkanun yang lain juga sama penting dalam melaksanakan strategi dasar
ini dalam pengurusan seharian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa.
Peranan pihak swasta dan pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di
mana badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha
pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masingmasing
dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek
kebudayaan.
Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah
perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan mempunyai
penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza.
Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta
mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu serta mengekalkan identiti
negara di persada antarabangsa.
Namun, pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa
yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu
tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan
keinsafan itu sahaja, kebudayaan kebangsaan akan dapat dibezakan
daripada kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum.
Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang
melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian
kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan
bermaruah.
BAB ENAM
KEBEBASAN BERSUARA
OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda akan dapat:
1. Mengetahui mengenai konsep kebebasan bersuara.
2. Mengetahui lebih lanjut berkaitan kebebasan akhbar
3. Mempelajari undang-undang yang menjamin dan mengehadkan
kebebasan bersuara.
4. Memahami dengan lebih jelas pelaksanaan undang-undang
tersebut melalui contoh-contoh kes.
6.1 PENGENALAN
Konsep kebebasan bersuara telah mula diperkenalkan sejak zaman sarjana
dahulu seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Konsep itu kemudiannya
dikembangkan oleh England semasa abad ke 16 dan 17 semasa industri
percetakan sedang berkembang (Pember, 2003). Kebebasan bersuara kini
mendapat sokongan negara-negara di seluruh dunia. Menurut konsep ini,
setiap individu mempunyai hak bersuara dan menyuarakan pendapat. Di
bawah ideologi hak asasi manusia, pendapat seseorang tidak boleh disekat
dan individu itu berhak memberitahu orang lain mengenai pendapatnya
sama ada positif atau negatif. Sebarang tindakan membendung seseorang
daripada bersuara dianggap melanggar hak asasi manusia.
Selain itu, kebebasan bersuara adalah antara ciri utama sebuah negara
yang mengamalkan demokrasi. Kepentingannya boleh dianggap sebagai
mengatasi kebebasan-kebebasan lain yang dijamin oleh undang-undang
kerana ia membolehkan pencarian dan penyataan kebenaran,
penyampaian maklumat dan pembetulan kepada kepincangan dalam
pemerintahan (Faridah, 2002).
Menurut definisi, kebebasan bersuara adalah kebebasan untuk
menyatakan pendapat tanpa sekatan, penapisan atau batasan.
Bagaimanapun seringkali di mana-mana negara pun hak ini tidak bersifat
mutlak dan seringkali dihadkan oleh batas-batas tertentu. Contohnya di
United Kingdom, terdapat satu senarai panjang common law dan statutstatut
yang wujud dan jumlahnya semakin meningkat. Akta berkaitan
fitnah, hasutan, penghinaan mahkamah, penghinaan Parlimen, kelucahan,
116
kata-kata kufur (blasphemy) dan khianat mengawal, menghalang dan
menghukum kebebasan bersuara. Walaupun dalam suasana perundangan
liberalitarian di Amerika Syarikat, undang-undang sebegini turut
diamalkan (Saleem Faruqi, 1992).
Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi turut tidak terkecuali daripada
memberikan hak bersuara kepada rakyatnya. Di negara ini, kebebasan
bersuara dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II
Perkara 10 iaitu kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan
persatuan. Hak-hak tersebut adalah tonggak kepada demokrasi yang
diamalkan di Malaysia dan ia juga merupakan perkara-perkara yang
terkandung dalam ‘Hak Asasi Manusia Sejagat’ (Universal Human Rights
Fundamental Liberties).
Oleh itu, dapat dilihat rakyat boleh menikmati hak ini terutamanya
semasa kempen pilihan raya di mana rakyat bebas memberikan pendapat,
pandangan malah mengkritik dasar-dasar kerajaan selagi tidak melanggar
batasan undang-undang. Mereka juga bebas menggunakan media sama
ada media cetak mahupun media elektronik untuk menyatakan pendapat
dan pandangan mereka. Bagaimanapun seperti yang dinyatakan awal tadi,
hak ini tidak diberikan secara mutlak.
Mengenai kebebasan bersuara, ia dinyatakan dengan jelas di dalam
Perkara 10 (1) (a) iaitu setiap warganegara berhak bebas bercakap dan
mengeluarkan fikiran tetapi hak ini disyaratkan oleh perkara 10(2)(a) yang
membenarkan Parlimen mengenakan sekatan sebagaimana yang difikirkan
perlu dan mustahak bagi pelbagai maksud, yang paling penting ialah
keselamatan negara, ketenteraman awam atau moral, penghinaan
mahkamah, fitnah dan hasutan untuk melakukan jenayah. Perkara 10(4)
selanjutnya membenarkan Parlimen Malaysia membuat undang-undang
yang melarang perbuatan mempersoalkan isu yang berkaitan dengan
bahasa, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak watan serta
kedaulatan, kuasa prerogatif dan bidang kuasa Raja-raja.
SOALAN DALAM TEKS
1. Apakah yang anda fahami tentang konsep
kebebasan bersuara?
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
117
Cuba anda fikirkan adakah kebebasan bersuara benarbenar
wujud di negara-negara yang mengamalkan
demokrasi?
6.2 KEBEBASAN BERSUARA YANG DIJAMIN OLEH
PERLEMBAGAAN
Hakim Raja Azlan Shah dalam kes PP v. Ooi Kee Saik [1971] 2 MLJ 108
telah memetik kata-kata berikut dari kes A.K. Gopalan v. State of Madras
AIR [1950] SC 27 (Saleem Faruqi, 1992):
“Tidak ada sesuatu hak yang mutlak atau kebebasan yang tidak terkawal,
yang bebas sepenuhnya daripada kawalan, kerana ia akan membawa
kepada anarki dan kacau bilau. Memiliki dan menikmati sesuatu hak
adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang berkaitan seperti kepentingan
kepada keselamatan, kesihatan, keamanan, aturan umum dan moral
masyarakat. Apa yang cuba dilakukan oleh perlembagaan dengan
memberikan hak itu adalah supaya terdapat keseimbangan antara
kebebasan individu dan kawalan sosial.”
Ini bermaksud masyarakat diberikan kebebasan bersuara tetapi mereka
harus menggunakannya dengan bertanggungjawab dan sepatutnya dapat
mempertimbangkan untuk memberi keutamaan kepada hak individu atau
hak masyarakat. Di barat, konsep kebebasan bersuara adalah berasaskan
falsafah individualisme tetapi di Malaysia ia adalah berasaskan kepada
sistem nilai yang menekankan kepada keseimbangan antara hak dan
tanggungjawab (Saleem Faruqi, 1992). Selalunya dalam kebanyakan hal,
hak masyarakat akan diutamakan berbanding hak individu kerana ia
melibatkan hak ramai dan mengutamakan keharmonian dan kestabilan
sosio-politik.
Menurut (Saleem Faruqi, 1992) tidak ada skop khas yang menghadkan
kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perkara 10, Perlembagaan
Persekutuan. Secara amnya, kebebasan bersuara adalah hak yang boleh
dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti komunikasi dalam bentuk
perkataan, tanda, simbol, gerak tubuh, juga melalui hasil seni, muzik,
skulptur, gambar, filem, video, buku, surat khabar dan majalah. Oleh itu,
rakyat Malaysia boleh menggunakan saluran-saluran ini untuk menyatakan
atau menyebarkan pendapat mereka.
Namun begitu, Perkara 10(2)(a), 10(4), 149 dan 150 memberikan hak
kepada Parlimen untuk menghalang kebebasan bersuara jika didapati
perlu berdasarkan kepada 14 perkara berikut:
(i) Keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
(ii) Hubungan baik dengan negara lain.
118
(iii) Ketenteraman awam.
(iv) Moraliti.
(v) Hak keistimewaan Parlimen atau mana-mana ahlinya.
(vi) Penghinaan mahkamah.
(vii) Fitnah.
(viii) Incitement kepada kesalahan lain.
(ix) Hak kewarganegaraan di bawah Bahagian III Perlembagaan
(x) Kedudukan Bahasa Melayu.
(xi) Kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera
Sabah dan Sarawak.
(xii) Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertuan Negeri
Sembilan.
(xiii) Tindakan perundangan yang dicipta untuk menghentikan atau
menghalang subversion, keganasan terancang dan jenayah
prejudis terhadap masyarakat.
(xiv) Tindakan perundangan yang diperlukan atas alasan keselamatan.
Jika diteliti, bolehlah disimpulkan bahawa had-had merangkumi skop
yang sangat luas. Melalui perkara-perkara ini juga diwujudkan undangundang
seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Akta Hasutan
(1948), Akta Fitnah (1957) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984).
Pada asalnya masyarakat dunia mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk
bersuara tetapi kebebasan itu disekat setelah pemerintah mendapati ia
menyebabkan masyarakat mengkritik kerajaan dan keadaan itu tidak dapat
diterima oleh pemerintah di zaman dahulu. Namun begitu, bagi negara
yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia, kebebasan
bersuara perlu digunakan dengan penuh berhati-hati agar tragedi seperti
13 Mei 1969 yang melibatkan rusuhan kaum tidak berulang.
Inilah hakikat yang harus diterima dan difahami bahawa tiada satu pun di
dunia ini yang bersifat mutlak. Demikianlah halnya dengan kebebasan
bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan negara kita di mana ianya
mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu. Ia umpama
satu kontrak sosial yang menjamin kerukunan, keharmonian, kedaulatan
serta keselamatan negara ini.
Seperti kata pepatah, lidah lebih tajam daripada pedang. Justeru,
walaupun hak kebebasan bersuara dijamin oleh perlembagaan namun
kebebasan bersuara di Malaysia berada di bawah lingkungan kawalan dan
sekatan beberapa undang-undang. Umumnya undang-undang yang
menyekat kebebasan bercakap boleh dibahagikan kepada tiga kategori
iaitu berhubung kehormatan yang meliputi perkara fitnah dan penghinaan
mahkamah, keselamatan negara yang membabitkan kata-kata dan
penerbitan berunsur hasutan atau penghinaan melampau dan kemoralan
yang melibatkan akhbar (Faridah, 2002). Antara undang-undang tersebut
ialah:
119
(i) Akta Hasutan (1948)
(ii) Akta Fitnah (1957)
(iii) Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960)
(iv) Akta Rahsia Rasmi (1972)
(v) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984)
SOALAN DALAM TEKS
1. Kenapakah kebebasan bersuara perlu dihadkan?
2. Bagaimanakah kebebasan bersuara dapat
dilaksanakan?
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
Cuba anda fikirkan falsafah individualisme atau sistem
nilai yang lebih baik digunakan dalam pelaksanaan
kebebasan bersuara?
6.3 KEBEBASAN BERSUARA DAN KEBEBASAN AKHBAR
Kebebasan bersuara telah membawa kepada tuntutan kebebasan akhbar
kerana apabila masyarakat mempunyai kebebasan untuk bersuara, mereka
bukan sahaja menggunakannya dalam bentuk lisan tetapi juga dalam
bentuk tulisan. Di Negara-negara membangun akhbar memainkan
peranan penting untuk pembangunan. Tumpuan akhbar lebih kepada
mendidik masyarakat dan membantu mereka untuk mengikuti arus
pembangunan. Isu-isu seperti kebuluran, pengangguran, buta huruf dan
kemiskinan biasanya menghiasi dada-dada akhbar. Untuk negara-negara
ini, kebebasan akhbar dan hak untuk bersuara tidaklah diutamakan
sebagaimana di negara-negara maju di mana isu-isu yang disebutkan tadi
bukan menjadi keutamaan (Saleem Faruqi, 1992).
Di Malaysia kebebasan akhbar adalah sesuatu yang kabur kerana
walaupun terdapat jaminan kebebasan bersuara, akhbar dan wartawan
masih dibelenggu oleh pelbagai undang-undang. Bagaimanapun terdapat
segelintir pengamal media yang tidak berasa terjejas dengan undangundang
yang mengawal mereka kerana beranggapan ia dilaksanakan untuk
kebaikan semua pihak.
Menurut organisasi pemantau kebebasan media, Wartawan Tanpa
Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris dalam laporan yang
120
dikeluarkan pada Oktober 2008, Malaysia berada pada tangga ke 132
daripada 173 negara yang ditinjau. Kedudukan ini merosot lapan anak
tangga di mana Malaysia berada pada tangga 124 pada tahun sebelumnya.
Hakikatnya media di Malaysia dikawal melalui empat cara iaitu undangundang,
pemilikan, polisi syarikat dan etika. Undang-undang adalah
elemen yang akan dibincangkan dengan panjang lebar dalam bab ini.
Antara undang-undang yang memainkan peranan penting dalam
menghadkan kebebasan akhbar di Malaysia adalah sebagaimana yang
disebutkan di atas tadi iaitu Akta Hasutan (1948), Akta Fitnah (1957),
Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Akta Rahsia Rasmi (1972), Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan (1984).
Dari segi pemilikan pula, media di Malaysia kebanyakannya dimiliki oleh
kerajaan secara langsung atau tidak. Pemilikan secara langsung adalah
apabila kerajaan menguasai agensi media itu sepenuhnya seperti stesen
radio dan televisyen rasmi kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Cara lain adalah melalui pemilikan saham di dalam syarikat media melalui
Government-Link Company. Contohnya Utusan Malaysia adalah
milik UMNO, The Star milik MCA, dan Tamil Nesan adalah milik
MIC. Melalui pemilikan ini, kerajaan mempunyai hak untuk mengawal
operasi syarikat media seterusnya menghadkan kebebasan bersuara.
Pemilikan juga membawa kepada penghalang seterusnya iaitu polisi.
Bezanya, dari segi polisi semua syarikat media samaada milik penuh
kerajaan, badan berkanun atau milik swasta akan menetapkan polisi yang
kebanyakannya menyokong polisi kerajaan. Oleh itu kebebasan bersuara
secara tidak langsung telah dihadkan.
Etika pula adalah sesuatu yang abstrak kerana ia bergantung kepada
amalan seseorang wartawan. Bagaimanapun etika yang diamalkan oleh
pengamal-pengamal media di Malaysia menyebabkan penapisan kendiri
(self-censorship) akhirnya menjadi satu tekanan yang paling ketat dalam
menyekat kebebasan media (Kia Soong, 1990).
SOALAN DALAM TEKS
3. Apakah tumpuan utama akhbar di negara-negara
membangun?
4. Bagaimanakah media di Malaysia dikawal?
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
121
Adakah kebebasan akhbar adalah sesuatu yang
diperlukan di Malaysia?
6.4 HURAIAN AKTA-AKTA YANG BERKAITAN DENGAN
KEBEBASAN BERSUARA
Banyak pihak yang mengkritik implimentasi undang-undang ini di
Malaysia dengan alasan ia menghalang atau membataskan kebebasan
bersuara. Sebenarnya undang-undang ini perlu untuk menjaga
keharmonian dan kestabilan negara terutamanya di sebuah negara seperti
Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Hal-hal sensitif termasuk
hal-hal yang berkaitan dengan bangsa, hak istimewa dan agama tidak
sepatutnya dipersoalkan. Di sinilah undang-undang tadi memainkan
peranannya.
6.5 AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (1960)
Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA (Internal
Security Act) adalah akta yang paling kerap dikecam sebagai menghalang
kebebasan bersuara. Melalui akta ini sesiapa yang melakukan sesuatu yang
dijangkakan boleh mengancam keselamatan Negara atau mana-mana
bahagiannya boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa
perbicaraan dan boleh dilanjutkan sehingga dua tahun. Arahan tersebut
tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah. Ini adalah bahagian yang
selalu dipertikaikan. (Sila rujuk Bab 10: Tanggungjawab Sosial untuk
huraian lanjut berkaitan akta ini).
Hal ini kerana adalah sukar untuk mendefinisikan sama ada sesuatu itu
mengancam keselamatan negara atau tidak. Biasanya jika kerajaan
berpendapat, atas budi bicara dan kuasanya bahawa sesuatu tulisan itu
boleh mengancam keselamatan negara, maka buku atau tulisan itu boleh
diharamkan atau tindakan undang-undang akan diambil ke atas penulis
terbabit (Kamal Halili, 1990).
Kuasa yang diberi kepada menteri untuk mengarahkan penahanan bagi
tempoh tidak lebih daripada dua tahun bagi penahanan pertama kali itu
adalah mutlak. Arahan itu tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Tempoh penahanan itu pula dilanjutkan selepas itu.
Sebagai contoh, penulis blog Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin
telah ditahan di bawah akta ini September lalu apabila didapati tulisannya
mempunyai unsur menghina dan boleh membangkitkan kemarahan umat
Islam. Beliau kemudiannya dibebaskan. Banyak pihak yang mengecam
penahanan ini dengan alasan akta tersebut telah disalahgunakan untuk
kepentingan politik pihak tertentu.
122
Selain Raja Petra, seorang lagi wartawan Tan Hoon Cheng dari Sin Chew
Daily turut ditahan pada hari yang sama berikutan siasatan polis terhadap
artikelnya yang didakwa mengandungi unsur menghina Islam, menghasut
dan boleh membangkitkan kemarahan serta menjejaskan ketenteraman
dan keamanan negara. Laporan beliau adalah berkaitan laporannya
mengenai Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail
yang didakwa membuat kenyataan bahawa “Orang Cina adalah
menumpang di Malaysia”. Tan telah dibebaskan seminggu selepas
penahanannya.
6.6 AKTA HASUTAN (1948)
Akta Hasutan (1948) pula digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara
hanya atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam. Kesalahan
menghasut bukanlah mudah untuk dibuat dakwaan dan dibuktikan.
Walau bagaimanapun dari satu segi Mahkamah dilihat mengutamakan
kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam apabila membicarakan
kes ini menyebabkan kebanyakan kes diakhiri dengan sabitan (Faridah,
2002).
Hakikatnya akta ini bukan dicipta khusus untuk golongan penulis tetapi
golongan inilah yang lebih banyak menerima tempiasnya kerana mereka
mampu melakukan hasutan kepada satu golongan yang ramai apabila
tulisan mereka disiarkan berbanding orang perseorangan yang menghasut
seseorang untuk membenci seorang yang lain.
Asalnya akta ini digubal semasa negara mengalami darurat dan sedang
dalam berperang dengan pengaruh komunis. Namun begitu, setelah
Tragedi 13 Mei, akta ini diperketatkan dan akibatnya ia menyekat
kebebasan bersuara dan menyatakan fikiran seperti yang dijamin di bawah
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (Kamal Halili, 1990).
Seseorang akan dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan apabila
perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau apa-apa benda lain
menjadikan sifat bagi perbuatan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu
sebagai mempunyai kecenderungan menghasut. Kecenderungan
menghasut pula antara lain bermaksud mendatangkan perasaan benci,
penghinaan, mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara
kaum atau penduduk atau mempersoalkan apa-apa perkara, hak, status,
kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang diwujudkan
dan dilindungi di bawah Perlembagaan. (Sila rujuk Bab 5 – Pelanggaran
Hak Individu) untuk maklumat lanjut berkaitan Akta Hasutan 1948).
Contohnya dalam kes Melan Abdullah dan lain-lain lwn Pendakwa Raya,
dua orang telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)c
123
iaitu mencetak penerbitan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Perayu pertama merupakan Ketua Pengarang Utusan Melayu, manakala
perayu kedua adalah pengarang berita bertajuk “Hapuskan sekolahsekolah
beraliran Tamil dan Cina di negara ini”.
Mahkamah telah memutuskan bahawa perayu kedua bersalah kerana telah
mempersoalkan Peruntukan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan
Persekutuan. Di bawah perkara ini, pengajaran dan pembelajaran bahasabahasa
lain selain Bahasa Malaysia adalah dilindungi. Oleh itu sesiapa
yang mempersoalkan peruntukan ini adalah melakukan kesalahan
menghasut.
Bagaimanapun dalam kes ini, perayu pertama, Melan Abdullah
dibebaskan kerana beliau telah menyerahkan sebahagian daripada
kuasanya kepada pegawai-pegawai bawahan. Tidaklah munasabah bagi
beliau untuk meneliti dan menyemak kesemua akhbar atau majalah yang
dikeluarkan oleh Syarikat Penerbitan Utusan Melayu sebelum ia
diterbitkan. Beliau telah mengambil langkah-langkah yang munasabah
bagi memastikan bahawa penerbitan itu tidak bertentangan dengan Akta
Hasutan.
Hakikatnya tulisan sebegini seharusnya dan selayaknya disekat daripada
menghasut pemikiran masyarakat Malaysia. Dalam kes ini, kebebasan
bersuara yang diberikan telah disalahgunakan oleh wartawan tersebut.
6.7 AKTA FITNAH (1957)
Fitnah adalah sebarang tuduhan yang mendorong kepada merendahkan
plaintif di dalam fikiran anggota masyarakat yang berfikiran waras,
menyingkirkannya daripada masyarakat atau mendedahkannya kepada
kebencian, kehinaan atau kebodohan (Kamal Halili, 1990). Di Malaysia,
Akta Fitnah (1957) digunakan bagi menyekat kebebasan bersuara apabila
berlaku keadaan di mana kata-kata yang diucapkan boleh menyebabkan
reputasi seseorang atau pihak berkenaan terjejas (Sila rujuk Bab 5 –
Pelanggaran Hak Individu untuk maklumat lanjut berkaitan Akta Fitnah,
1957).
Kebebasan bercakap tidaklah merupakan lesen untuk menjejaskan
maruah seseorang. Kesalahan memfitnah berlaku apabila terdapat dalam
suatu kenyataan kecenderungan untuk mengadakan pendapat yang
bertentangan mengenai seseorang oleh orang lain walaupun tiada siapa
yang percaya kenyataan tersebut sebagai benar (Faridah, 2002).
Selain menjaga maruah individu, kebebasan bercakap disekat untuk
menjaga kehormatan institusi tertentu, terutamanya kehakiman.
124
Penghinaan Mahkamah ialah mekanisme untuk memelihara integriti
badan kehakiman sebagai badan yang bebas dan berperanan menegakkan
keadilan. Integriti ini perlu dipelihara untuk mengelakkan masyarakat
hilang keyakinan dan timbul huru-hara. Batasan ini juga hendaklah
digunakan secara berhati-hati oleh Mahkamah agar ini tidak menjejaskan
perjalanan tugas pihak peguam dan menimbulkan sangkaan bahawa
Mahkamah itu sendiri tidak boleh dikritik dan menggugat kepercayaan
orang awam kepada Mahkamah.
Walau bagaimanapun, bukan tujuan undang-undang fitnah untuk
melarang orang bersuara atau mengeluarkan buah fikirannya. Oleh sebab
itulah di bawah undang-unndag fitnah pertimbangan yang wajar dibuat
antara memelihara kebebasan bersuara dan mengkritik pada satu pihak
lagi (Kamal Halili, 1990).
Contoh kes fitnah yang pernah dibicarakan adalah kes Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Dr. Nordin Kardi yang menyaman
penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamarudin, dan tiga defendan
lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ketua Pengarang dan Editor
akhbar Suara Keadilan di bawah Akta Fitnah 1957. Dalam kes tersebut,
Mahkamah Tinggi mengarahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak
RM7 juta kepada Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Universiti Utara Malaysia
setelah defendan menyiarkan artikel yang memfitnah bahawa Tan Sri
Nordin telah menciplak karya Muhtar Suhaili, bekas Presiden Majlis
Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
bertajuk “Mahasiswa dan Tanggungjawab Mengurus Kejayaan.”
Defendan didapati bersalah melakukan fitnah libel kerana artikel yang
disiarkan telah menjatuhkan maruah Tan Sri Nordin sebagai seorang
Naib Canselor dan turut menjejaskan imej Universiti Utara Malaysia.
6.8 AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan adalah satu akta yang diperkenalkan
untuk mengawal selia penggunaan mesin cetak dan percetakan,
pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan dan
pengedaran hasil penerbitan dan mengenai perkara-perkara yang
berkaitan dengannya.
Beberapa bentuk undang-undang yang berkaitan aktiviti penerbitan dan
percetakan yang pernah digunapakai di negara ini adalah:
(i) Akta India No.11 yang digubal oleh kerajaan East India Company
yang mewajibkan pendaftaran mesin cetak yang dimiliki, dan
dikuatkuasakan di Negeri-Negeri Selat mulai September 1835
hingga 1888.
125
(ii) Ordinan Mesin Cetak 1920 yang digubal oleh kerajaan Negeri-
Negeri Selat di Singapura bagi menangani kekacauan yang berlaku
di antara dua golongan besar pendatang Cina yang terdiri daripada
kumpulan yang menyokong Maharaja China dan yang
menentangnya.
(iii) Enakmen Mesin Cetak 1924 yang digubal oleh Negeri-negeri
Melayu Bersekutu dan mempunyai banyak persamaan dengan
Ordinan Mesin Cetak 1920.
(iv) Ordinan Mesin Cetak 1948 yang merupakan satu undang-undang
mesin cetak dan penerbitan yang seragam untuk Persekutuan
Tanah Melayu digubal berasaskan Ordinan Mesin Cetak Kerajaan
Negeri-Negeri Selat dan Enakmen Mesin Cetak Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu.
Akta ini mentafsirkan akhbar sebagai apa-apa hasil penerbitan yang
mengandungi berita, penerangan, laporan kejadian atau apa-apa pendapat,
pemerhatian atau ulasan, berhubungan dengan apa-apa berita, penerangan
atau kejadian, atau dengan apa-apa perkara lain, yang menarik minat
orang ramai, atau apa-apa majalah, komik atau bentuk majalah berkala
lain yang dicetak dalam apa-apa bahasa untuk dijual atau diedarkan
dengan percuma pada tempoh yang kerap atau tak kerap, tetapi tidaklah
termasuk apa-apa hasil penerbitan yang diterbitkan oleh atau untuk
Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan
Singapura.
Dokumen pula ditafsirkan sebagai apa-apa kertas, kad atau lain-lain bahan
atau benda yang padanya ada dicetak, ditaip, ditulis atau ditandakan,
huruf, angka, tanda, majalah bergambar atau apa-apa gambaran lain yang
boleh dilihat dan termsuklah akhbar, buku dan risalah.
Penerbitan yang dirujuk dalam Akta termasuklah:
(i) Dokumen, akhbar, buku dan majalah berkala.
(ii) Semua bahagian bertulis atau bercetak dan segala-galanya sama
ada sifatnya yang serupa dengan bahan bertulis atau bercetak atau
tidak mengandungi apa-apa gambaran yang boleh dilihat.
(iii) Apa-apa juga yang mengikut rupa, bentuknya atau dengan apa
juga cara boleh membayangkan kata-kata atau idea-idea.
(iv) Rakaman suara.
Penerbitan terlarang pula bermaksud apa-apa hasil penerbitan yang telah
dilarang di bawah subseksyen (1) dan seksyen 7 dan termasuk apa-apa
salinan, penghasilan semula, cabutan atau apa-apa terjemahan, ringkasan,
karangan dan parafrasanya.” Subseksyen (1) seksyen 7 merujuk kepada
apa-apa hasil penerbitan mengandungi apa-apa makalah, karikatur,
126
fotograf, laporan, nota, tulisan, bunyi, muzik, kenyataan atau apa-apa
perkara lain yang mengikut apa-apa jua cara memudaratkan atau mungkin
memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang
mungkin menggemparkan fiikiran orang ramai, atau yang berlawanan atau
mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau yang
selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam
atau kepentingan negara.
Seksyen 7 ini memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk melarang
percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan,
penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil
pengeluaran dan hasil-hasil pengeluaran masa hadapan penerbit yang
berkenaan.
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan juga mewajibkan setiap penerbitan
mempunyai permit. Menteri Keselamatan dan Hal Ehwal Dalam Negeri
mempunyai hak mutlak untuk memberi, membatal atau menggantung
permit ini.
(i) Mengikut kuasa budi bicaranya, Menteri tersebut boleh memberi
kepada mana-mana orang suatu permit untuk mencetak dan
menerbitkan akhbar di Malaysia atau kepada mana-mana tuan
punya mana-mana akhbar di Singapura suatu permit
membenarkan akhbar itu diimport, dijual, dikelilingi atau diedar di
Malaysia.
(ii) Menteri dengan kuasa memberi, ia juga memberi peruntukan
kepada Menteri untuk pada bila-bila masa membatalkan atau
menggantung sesuatu permit selama suatu tempoh yang difikirkan
mustahak.
Akta ini juga menjelaskan bahawa tiada seorang pun boleh mencetak,
mengimport, menerbit, menjual, mengelilingi atau mengedar atau
menawar untuk menerbitkan, menjual, mengelilingi atau mengedar apaapa
akhbar yang dicetak di Malaysia atau Singapura melainkan jika permit
telah diberi oleh Menteri berkenaan dengan akhbar itu.
Adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang mencetak apa-apa
akhbar yang berkenaan dengannya permit telah tidak diberi atau permit
telah dibatalkan atau digantung atau mengimport, menerbit, menjual,
mengelilingi atau mengedar, atau ada dalam miliknya bagi apa-apa juga
maksud seperti itu, apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau di
Singapura yang berkenaan dengannya tiada permit telah diberi atau yang
berkenaan dengannya permit telah dibatalkan atau digantung. Kesalahan
berbuat demikian apabila disabitkan, boleh dikenakan penjara selama
tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000
atau kedua-duanya.
127
Selain itu, Akta ini juga memperuntukkan bahawa keputusan yang dibuat
oleh Menteri di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk menolak
daripada memberikan permit atau untuk membatalkan atau menggantung
sesuatu lesen atau permit adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan
oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa juga alasan pun.
Contohnya sebuah akhbar Tamil Makkal Osai telah digantung permit
penerbitannya selama sebulan mulai 24 Ogos 2007 sehingga 24
September kerana menyiarkan iklan yang memuatkan karikatur Nabi Isa
memegang sebatang rokok dan setin minuman keras. Penggantungan itu
adalah disebabkan akhbar tersebut telah menyiarkan satu kata-kata dalam
ruangan “Kata-kata Hari Ini” pada 21 Ogos tahun yang sama yang
bermaksud “mereka yang menyedari kesalahan mereka, akan masuk
syurga.”
Ekoran penyiaran iklan tersebut, akhbar itu telah melakukan kesalahan
dan melanggar perenggan 6 syarat-syarat permit yang dikeluarkan di
bawah subseksyen 6(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Tindakan
itu adalah berasaskan peruntukkan akta tersebut di mana akhbar tidak
dibenarkan menyiarkan bahan-bahan penerbitan yang memudaratkan atau
mungkin memudaratkan dari aspek ketenteraman awam, kemoralan,
keselamatan atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau
yang berlawanan dengan undang-undang atau mungkin memudaratkan
kepentingan awam atau kepentingan negara.
6.9 AKTA RAHSIA RASMI 1972
Akta Rahsia Rasmi 1972 adalah akta yang melindungi apa-apa maklumat
dan bahan yang berhubung dengannya termasuklah apa-apa maklumat
dan bahan lain yang dikelaskan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia”, “Sulit”
atau “Terhad”, mengikut mana-mana yang berkenaan oleh seorang
Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu negeri atau manamana
pegawai awam. Ia didakwa menjadi batu penghalang kepada
pelaksanaan hak bersuara kerana akta berkenaan memberikan kuasa yang
luas kepada eksekutif untuk mengklasifikasikan sesuatu maklumat. Tanpa
adanya maklumat yang mencukupi sukar untuk hak bercakap
dimanfaatkan (Faridah, 2002). (Sila rujuk Bab 10 – Tanggungjawab Sosial)
untuk maklumat lanjut berkaitan Akta Rahsia Rasmi).
Contohnya dalam kes Mohammad Ezam Mohd Nor lwn. Pendakwa Raya
([2004] 2 CLJ), Mohammad Ezam didapati telah melakukan kesalahan di
bawah seksyen 8(1)(i) Akta Rahsia Rasmi 1972 pada 6 November 1999
apabila beliau mengadakan sidang akhbar berkaitan dua laporan yang
dikelaskan sebagai “RAHSIA” yang bertajuk:
128
1. SIASATAN TERHADAP DATO’ SERI RAFIDAH AZIZ
Y.B. MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA
DAN INDUSTRI dan
2. SIASATAN BADAN PENCEGAH RASUAH TERHADAP
Y.A.B. TAN SRI ABDUL RAHIM BIN TAMBY CHIK
(B1), KETUA MENTERI MELAKA
Bagaimanapun dalam kes ini Mohammad Ezam dibebaskan apabila
didapati kedua-dua dokumen itu hanya diklasifikasikan sebagai
“RAHSIA” pada 24 Ogos 2000 sedangkan beliau dituduh melakukan
kesalahan itu pada 6 November 1999.
Kes lain yang boleh dijadikan contoh adalah kes Datuk Haji Dzulkifli bin
Datuk Abdul Hamid lwn Pendakwaraya. Dalam kes ini tertuduh didakwa
di bawah seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana kesalahan menerima
maklumat rahsia rasmi iaitu berbentuk salinan surat Ketua Menteri Sabah
kepada Menteri Luar Sabah walaupun pada hakikatnya dia mengetahui
bahawa dokumen itu adalah rahsia rasmi tetapi telah bertindak
memaklumkan kepada pihak lain. Di dalam pembelaannya, tertuduh
menyatakan bahawa dokumen atau maklumat berkenaan pelarian Filipina
di Sabah itu sudah diketahui ramai dan bukannya rahsia lagi. Mahkamah
memutuskan bahawa sesuatu maklumat tidak akan hilang kerahsiaannya
hanya kerana dalam surat berkenaan mengandungi maklumat yang sudah
menjadi pengetahuan umum. Tertuduh didapati bersalah atas tuduhan
tersebut.
SOALAN DALAM TEKS
5. Apakah kesalahan-kesalahan yang boleh didakwa di
bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang
berkaitan dengan kebebasan bersuara?
6. Apakah kuasa-kuasa yang diberikan kepada Menteri
Keselamatan Dalam Negeri di bawah Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan 1984?
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
129
Cuba anda fikirkan adakah akta-akta yang mengawal
kebebasan bersuara seperti Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
wajar dimansuhkan sebagaimana yang dituntut oleh
banyak pihak?
6.10 RUMUSAN
Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan wajar digunakan
sebaik mungkin kerana kebebasan bersuara bukan sahaja mampu
membawa perubahan ke arah kebaikan kepada masyarakat tetapi ia juga
mampu memporak-perandakan masyarakat. Adalah wajar kebebasan
bersuara yang diberikan diletakkan had-had dan batasan-batasan tertentu
apatah lagi bagi negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti
negara kita Malaysia.
Kebebasan bersuara di negara ini tidak seharusnya menyentuh isu-isu
sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan
ketegangan di dalam negara seperti soal agama, bahasa, pendidikan,
budaya, ekonomi, perkara-perkara berunsur subversive, menghasut dan
memfitnah. Kebebasan yang diberikan seharusnya digunakan dengan
penuh tanggungjawab agar perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian
masyarakat di negara ini yang sudah lama wujud tidak dihancurkan hanya
kerana kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu.
BAB LAPAN
TELEKOMUNIKASI
OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda akan dapat:
1. Mengetahui mengenai sejarah undang-undang siber serta Akta
Komunikasi dan Multimedia.
2. Mengetahui mengenai perlaksanaan undang-undang siber.
3. Mempelajari bagaimana Akta Komunikasi dan Multimedia
digubal sebelum dilaksanakan.
4. Memahami lebih lanjut perbezaan kedua-kedua akta dan undangundang
ini.
8.1 PENGENALAN
Bab ini akan menerangkan mengenai era digital dan globalisasi yang kita
tempuh sekarang meletakkan Internet begitu kritikal hingga
menjadikannya seolah-olah sebahagian daripada gaya hidup sehari-hari
tidak kiralah sama ada untuk bekerja, berhibur atau bermain. Capaian
Internet lebih banyak dilakukan di pejabat atau di rumah, namun tidak
kurang pula yang mencapainya dari mana saja kerana ia boleh dicapai
dengan kaedah penyambungan berwayar atau tanpa wayar.
Gerald, R. F et.al (2004), menyatakan Internet adalah rangkaian dalam
rangkaian komputer dan nama Internet bermula dengan konsep
internetworking apabila pelbagai rangkaian komputer disatukan bersama.
Internet bermula pada 1969 sebagai ARPANET yang dihasilkan oleh
Jabatan Pertahanan Tentera Amerika Syarikat yang hendak digunakan
untuk penyelidik pasukan pertahanan untuk berkomunikasi antara negara
dan melakukan kerjasama tertentu. Selepas itu, kemudahan berkenaan
digunakan dalam universiti dan ahli akademik, terutama e-mel dan
berkomunikasi antara satu sama lain. Tetapi komunikasi ahli akademik
dan pelajar di universiti sudah tidak membabitkan urusan ketenteraan.
Mereka lebih tertumpu kepada menggunakan teknologi ini untuk
berbincang, akses kepada pangkalan data dan memuat turun data.
Dalam tahun 1973, ARPANET sudah boleh digunakan secara meluas
untuk menghubungi dan berkomunikasi dengan negara-negara lain dan
bermulalah revolusi Internet. Akhir tahun 1980-an, Pertubuhan Sains
148
Kebangsaan Amerika Syarikat membina rangkaian sendiri dan pada 1990,
ARPANET semakin ditingkatkan peranannya, tetapi dalam sejarah tidak
menunjukkan bahawa teknologi itu bakal dikomersialkan sehingga 1991
melalui capaian World Wide Web membangunkan rangkaian sebelum
melakukan perubahan untuk dikomersialkan. Capaian World Wide Web
bermula pada 1991 di CERN, sebuah makmal fizik di Eropah. Kaedah itu
digunakan oleh ahli fizik dalam urusan teknikal dan pertukaran nota
akademik. Secara sejarahnya, 1980 semua pihak mula menggunakan
Internet tetapi ketika itu bukan laluan mudah bagi mengaplikasi teknologi
baru itu. Dalam tahun 1990, Tim Berner-Lee dari CERN memantapkan
lagi capaian World Wide Web dan digunakan secara menyeluruh setahun
kemudian. Selepas itu, industri ini semakin berkembang untuk
dikomersialkan seperti Amazon dan Yahoo memulakan perniagaan
menggunakan teknologi ini.
Malahan dalam alaf ini, alat capaiannya pula kini tidak terhad kepada
komputer peribadi (PC) desktop saja, malah PC notebook semakin popular
penggunaannya, dan kini ditambah pula dengan PC mini notebook dan
telefon bimbit yang biasa atau yang pintar. Sememangnya maklumat
adalah sesuatu yang amat kritikal kerana apabila keperluannya mendadak,
maka ia perlu diperoleh dengan cepat tanpa mengira di mana kedudukan
kita ketika itu. Begitu juga dengan perhubungan komunikasi yang mana
keperluannya amat mendesak dan kini ia boleh dimanfaatkan
menggunakan telekomunikasi talian tetap, selular (tanpa wayar), mel
elektronik (e-mel) dan sebagainya.
Apabila kita bercakap mengenai capaian Internet secara tanpa wayar, ia
sebenarnya membabitkan beberapa kemudahan sedia ada seperti WLAN,
Wi-Fi, 3G, HSPA dan WiMAX. Begitu juga dengan penyediaan
perkhidmatan jalur lebar sama ada secara berwayar atau tanpa wayar yang
dilihat masih terlalu terhad di kawasan tertentu saja, sedangkan
keperluannya seharusnya meliputi keseluruhan kawasan agar semua orang
dapat menikmatinya.
Dalam hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Telenor ASA, Jon Fredrik
Baksaas, memberitahu Internet mudah alih adalah satu segmen besar
yang masih perlu secara menyeluruh dan ia pastinya menjadi salah satu
unsur pelengkap dalam kehidupan kita sehari-hari. Internet mudah alih
merupakan satu anjakan besar yang perlu diperhalusi sebaik mungkin
kerana kita perlu sedar akan potensinya yang boleh menjana pelbagai
keuntungan apabila benar-benar dimanfaatkan.
Jumlah penduduk dunia ketika ini dianggarkan kira-kira 6.7 bilion orang
dan kadar penembusan jalur lebarnya hanyalah kira-kira lima peratus,
manakala hanya 20 peratus saja menggunakan Internet. Menurut Baksaas,
149
80 peratus daripada penduduk dunia itu tidak mempunyai capaian
langsung kepada sebarang sistem telekomunikasi talian tetap dan itu
membuktikan dengan jelas bahawa permintaan terhadapnya terlalu tinggi.
Potensi menghubungkan bagi ramai lagi penduduk dunia yang belum
terhubung itu amatlah besar, namun cabarannya juga besar. Kita harus
sedar bahawa mereka perlukan produk dan perkhidmatan yang bermutu
tinggi serta mampu dijadikan sandaran. Daripada berbilion penduduk
dunia itu pula, kira-kira 60 peratus tiada capaian kepada perkhidmatan
kewangan, nisbah pegawai perubatan berbanding penduduk pula ialah
142 kepada 100,000 orang, manakala 78 peratus penduduk tidak
mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Kesemua statistik itu menunjukkan lagi potensi besar Internet mudah alih
yang diyakini mampu mengatasi pelbagai cabaran itu. Teknologi yang ada
ketika ini, diperkuat pula dengan pelbagai kandungan yang sudah
didigitalkan, pasti mampu mengubah statistik itu kerana banyak
perkhidmatan boleh disediakan dengan adanya Internet mudah alih.
Bagi pihak penyedia perkhidmatan pula, banyak ruang boleh diteroka
untuk menjana keuntungan dari penyediaan inovasi-inovasi perkhidmatan
yang disediakan seperti kesihatan, kerajaan, pendidikan, perbankan dan
hiburan multimedia. Antara perkhidmatan yang boleh disediakan
termasuk perkhidmatan kewangan, perkongsian capaian kandungan,
perkhidmatan berkaitan kesihatan dan perkhidmatan di antara mesin ke
mesin.
Kata beliau, Telenor yang berpangkalan di Norway memiliki banyak
sejarah kecemerlangan dengan beberapa unsur penting dalam
menyediakan perkhidmatan yang mana semestinya perkhidmatan itu
mudah digunakan, kadar caj yang amat telus, ruang liputan mestilah
menyeluruh dan sistem rangkaian yang kukuh untuk dijadikan sandaran.
Menurut Ketua Asia, Kumpulan Telenor, Sigve Brekke, strategi yang
dimainkan oleh penyedia perkhidmatan mestilah betul terutama di negaranegara
yang memiliki budaya kehidupan unik. Penyedia mestilah mampu
mencipta kaedah berlainan untuk memastikan kehendak atau keperluan
pengguna berlainan budaya itu mampu dipenuhi dengan tahap kepuasan
yang tinggi.
Pasaran di Malaysia tidak terkecuali, ia agak unik dan sasaran pasaran
mestilah tepat untuk memacu pasaran. Pembangunan perkhidmatan baru
mestilah berasaskan kajian pengguna kerana jika dilihat dari segi kadar
penembusan pengguna rangkaian telekomunikasi mudah alih yang hampir
mapan. Mengenai perkhidmatan jalur lebar di Malaysia, Sigve menjelaskan
150
masih banyak peluang boleh diteroka dan gaya guna penggunanya adalah
pelbagai. Ada yang menggunakan telefon bimbit dan ada juga yang
menggunakan komputer notebook sebagai peranti capaian.
Telenor yang memiliki hubungan langsung dengan DiGi
Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), penyedia perkhidmatan terkemuka
tempatan, sudah mempunyai pelan tertentu untuk menyediakan
perkhidmatan jalur lebar atau Internet mudah alih di atas rangkaian
generasi ketiga (3G), HSPA atau EDGE yang memang sudah pun
ditawarkan ketika ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind, DiGi akan
belajar dari Telenor mengenai rangkaian 3G dan dijangka mula
menawarkan perkhidmatan berasaskan rangkaian jalur lebar itu. Pengguna
di negara ini sudah matang dan perkhidmatan data mudah alih menjadi
kian kritikal yang diperlukan di mana saja mereka berada. DiGi akan
mementingkan penyediaan jalur lebar di kawasan luar bandar selepas
mendapat kepercayaan dan saranan daripada Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia.
Apabila Internet mudah alih itu benar-benar menjadi realiti di negara ini
atau di negara mana sekali pun, ia sudah pasti mendatangkan manfaat
besar kepada pengguna pada keseluruhannya. Setiap pengguna dapat
memaksimumkan produktiviti kerana kita dapat mencapai maklumat atau
aplikasi di mana saja dengan kadar memindahkan data yang lebih laju.
Dalam pada itu, ia juga membolehkan kita untuk terus berhubungan dan
berkongsi data tidak kira di mana kita berada asalkan ada ruang liputan
rangkaian jalur lebar mudah alih itu. Kita juga tidak perlu mencari hotspot
lagi untuk mendapatkan capaian. Apa yang penting kita beroleh manfaat
telekomunikasi dari satu sambungan tunggal sama ada untuk data atau
suara dalam keadaan yang paling selamat.
8.2 UNDANG-UNDANG SIBER
Dalam hal ini, dalam 1995 kerajaan membentuk Majlis Teknologi
Maklumat Negara (NITC) sebagai badan yang akan merumuskan pelbagai
polisi berkaitan teknologi maklumat dan mencari jalan bagaimana dapat
memanfaatkannya bagi kepentingan negara. Institut Sistem
Mikroelektronik Malaysia (Mimos), badan pemikir kerajaan
dipertanggungjawabkan membuat kajian mengenai IT. Ia merumuskan
strategi khas bagi mempercepatkan proses transformasi dari negara
sedang membangun ke negara maju selaras Wawasan 2020.
151
MIMOS mencadangkan pembentukan satu alternatif kepada dasar
perindustrian yang menjadi sumber utama pendapatan negara selain
daripada sumber komoditi mentah dan industri pertanian selepas satu
kajian mendalam dilakukan. Cadangan itu ialah membentuk industri
teknologi maklumat (IT) sebagai enjin kedua menjana sumber pendapatan
negara. Konsep Koridor Raya Multimedia (MSC) mula diketengahkan,
iaitu satu kawasan khas yang akan dibangunkan sebagai tempat
bermulanya industri multimedia tempatan dengan sasaran sasaran ke luar
negara.
Bagaimanapun, pada 1996 Multimedia Development Corporation Sdn
Bhd (MDC), agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memasar dan
membangunkan MSC ditubuhkan mengikut Akta Syarikat. Ia adalah
syarikat milik kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memaju dan
memasarkan MSC.
Dengan penubuhan MDC sebagai pusat sehenti MSC maka ia mula
dilancarkan bersama bandar raya bestari Putrajaya secara rasmi oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Kempen dan
promosi MSC giat dilakukan dalam dan luar negara. Pada 1997, Universiti
Stanford, Amerika Syarikat di panel Penasihat Antarabangsa (IAP)
Koridor Raya Multimedia (MSC) diwujudkan secara khusus bagi memberi
input dan nasihat kepada kerajaan mengenai hala tuju negara bagi
mempersiapkan negara dan rakyat menghadapi kedatangan era digital dan
menerokai peluang yang ada dalam industri multimedia. Buat kali
pertama, Malaysia berjaya menghimpunkan tokoh teknologi maklumat
(IT) terkemuka dunia dalam satu pasukan untuk merumuskan apa yang
terbaik bagi MSC.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan
mempengerusikan mesyuarat pertama IAP di Universiti Stanford, San
Francso yang dianggotai 30 tokoh dan pemimpin industri IT Amerika
Syarikat, Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah. Antara tokoh IT
yang hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Netscape, James
Barksdale; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Oracle, Larry Ellison;
Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Microsystem, Scott
McNealy; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hewlett Packard,
Lewis Platt.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Corporation, Bill
Gates dan Ketua Pegawai Eksekutif IBM, Louis Gerstner, yang bersetuju
menganggotai panel berkenaan, tidak dapat hadir dalam mesyuarat
berkenaan. Tun Dr Mahathir yang berpuas hati dengan lawatan 10
harinya ke Amerika Syarikat dan Jepun bagi mempromosi Koridor Raya
Multimedia (MSC).
152
Menurutnya, berdasarkan pertemuan dan perbincangan yang diadakan,
ramai tokoh dan ketua eksekutif syarikat multimedia terkenal,
menunjukkan minat terhadap MSC. Mereka nampaknya ingin menyertai
projek ini dan sanggup menganggotai panel penasihat antarabangsa (IAP),
badan penasihat yang kita namakan untuk memberi nasihat kepada kita
berkenaan dengan teknologi maklumat.
Di Jepun, sambutan begitu nyata. Penyertaan hampir semua syarikat besar
jelas menunjukkan minat mereka. Syarikat besar dan terkenal dalam
bidang teknologi maklumat dan multimedia akan memainkan peranan
penting dalam pembangunan dan perkembangan MSC sebagai hub
industri multimedia dunia kerana dengan penyertaan mereka dalam projek
itu, ia akan menggalakkan syarikat lain turut serta.
Walaupun jumlah syarikat yang benar-benar berminat menyertai MSC
belum diketahui, banyak syarikat sudah berjanji akan mendaftar sebaik
saja Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) membuka
pendaftarannya Mac 1997. Antara syarikat Jepun yang menunjukkan
minat untuk menyertai MSC ialah Nippon Telegraph and Telephone
Corporation (NTT), malah jika boleh syarikat itu mahu memulakan
projeknya sekarang.
NTT berminat membantu kerajaan mewujudkan Universiti Multimedia
dan ia bercadang menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan
(R&D) di kawasan MSC.
Pembangunan itu diteruskan dalam 1998 di Cyberjaya apabila mesyuarat
kali kedua ahli IAP menjadi platform penting menterjemahkan hala tuju
MSC serta membangkitkan isu kritikal sejagat berkaitan revolusi
maklumat. Bagaimanapun, pada kali ini, topik utama yang akan
dibincangkan ialah isu menjangkaui sempadan, masa depan perdagangan
elektronik (EC), implikasi cukai bagi EC, kesan revolusi maklumat kepada
masyarakat disebabkan Internet, aliran semasa dan penggabungan
pelbagai teknologi seperti perkomputeran, komunikasi dan penyiaran.
Isu implikasi cukai bagi EC serta penerimaan standard dan undangundang
2EC yang diterima pakai secara sejagat dan dilihat sebagai faktor
penting dalam meningkatkan EC mendapat perhatian, terutama dengan
perkembangan Internet sebagai media bagi transaksi perdagangan.
Ahli IAP akan turut diberi taklimat mengenai status dan jumlah syarikat
MSC, pembangunan infrastruktur fizikal dan maklumat, perkembangan
bandar bestari Cyberjaya dan Putrajaya, langkah menangani kekurangan
tenaga kerja mahir, undang-undang siber, aplikasi perdana, operasi MDC
dan status MSC kepada institut pengajian tinggi, fakulti dan pelaburan
syarikat dalam pendidikan.
153
Satu sesi khusus disediakan untuk ahli IAP mengkaji perkembangan MSC
bagi menentukan hala tuju yang betul dalam semua aspek pembangunan
seperti sumber manusia, infrastruktur fizikal, persekitaran, dan budaya
penyelidikan & pembangunan (R&D).
Satu mesyuarat Meja Bulat Masyarakat Elektronik Asia akan turut
diadakan dengan tumpuan utama kepada perkembangan pantas IT di
rantau Asia, terutama dengan inisiatif kerajaan rantau ini dalam teknologi
tinggi. Seramai 15 ahli IAP yang hadir kali ini termasuk Pengerusi dan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Acer Inc, Dr. Stan Shih; Pengerusi dan
CEO Alcatel Alsthom, Serge Tchuruk; Pengarah Eksekutif Pusat
Komunikasi Global Universiti Antarabangsa Jepun, Professor Shumpei
Kumon.
Penasihat Kanan Pusat Strategi dan Pengajian Antarabangsa AS, Diana
Lady Dougan; Pengerusi dan CEO DHL, Lester Alberthal; Presiden dan
CEO Ericsson, Dr Lars Ramqvist. Profesor Universiti Stanford, Profesor
William F. Miller; Naib Pengerusi dan CEO Motorola Inc, Gary Tooker;
Pengerusi dan CEO Madge Networks NV, Robert Madge.
Antara tokoh lain yang berminat ialah Pengerusi NEC, Dr. Tadahiro
Sekimoto; Presiden Nippon Telegraph & Telephone Co, Jun-Ichiro
Miyazu; Dr Kenichi Ohmae dari Ohmae dan Bersekutu, Pengerusi Silicon
Graphics World Trade, Bob Bishop; Presiden dan CEO Sony Corp,
Nobuyuki Idei; dan Pengasas Toffler dan Bersekutu, Alvin Toffler.
Kemuncak perbincangan ialah pada 1999 juga di Cyberjaya membabitkan
mesyuarat kali ketiga panel IAP akan berlangsung selama dua hari
bermula 8 Julai di bandar raya pintar, Cyberjaya. Mesyuarat kali ini
menghimpunkan 24 ahli dan wakil syarikat atau individu yang menjadi
ahli IAP. Beberapa muka baru diperkenalkan iaitu Pengerusi Cisco
Systems, John Morgridge; Presiden dan Ketua Eksekuitf Ericsson, Sven
Christer Nilsson; Pengerusi Lembaga Pengarah Compaq, Benjamin
Rosen; Presiden Lotus Development Corp, Jeffrey Papows dan Pengerusi
EDS, Richard Brown.
Selain itu, IAP kali ini mendapat dua ahli baru iaitu Pengarah Cutler
Company, Dr Terry Cutler dan Pengarah Universiti Peking, Prof Wang
Xuan di samping Datuk Stan Shih, Serge Tchuruk dan Bob Bishop.
Mesyuarat kali ini akan mencatatkan sejarah kerana bandar raya pintar,
Cyberjaya akan dibuka secara rasminya oleh bekas Perdana Menteri Tun
Dr Mahathr Mohamad. Antara yang akan dbincangkan dalam mesyuarat
kali ini ialah kemajuan MSC dan penilaian terhadap polisi yang
dipersetujui sebelum ini. Ia juga akan membincangkan aspek perdagangan
elektronik dan undang-undang siber yang mana pada hari pertama ia lebih
menumpukan kepada arah tuju masa depan MSC.
154
Pada hari kedua perbincangan antara menteri Kabinet dan pegawai kanan
kerajaan diadakan di Putrajaya. Selain itu, mereka juga akan menyaksikan
pelancaran Universt Multimedia, pameran web shaper dan produk yang
dihasilkan syarikat yang mendapat status MSC. Sebelum mesyuarat IAP
ketiga, pelancaran makmal pintar di Sekolah Menengah Kebangsaan
Dengkil dan Sekolah Rendah Kebangsaan Dengkil dilakukan bekas
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Razak.
Permulaan yang baik kerana Malaysia mahukan bidang IT menjadi
pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara. Oleh itu, projek
Koridor Raya Multimedia telah berjaya mencapai kemajuan di luar
dugaan. Matlamat asal kita ialah supaya pada 2003, jumlah syarikat yang
mendapat sijil MSC sebagai syarikat multimedia akan berjumlah 500
dengan 30 daripadanya bertaraf dunia. Namun sehingga kini, pencapaian
sebenar telah melebihi matlamat ini dengan 730 syarikat berdaftar di
mana sebanyak 53 bertaraf dunia. Beberapa syarikat gergasi telah
berpindah dari Eropah dan Amerika untuk mengadakan pusat operasi
mereka bagi seluruh dunia atau bagi Asia Timur di Cyberjaya.
Kerajaan akan terus berusaha untuk melonjakkan peralihan ke era ICT
selaras dengan usaha untuk mencapai ekonomi baru berasaskan
pengetahuan. Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) telah berjaya
membangun serta memajukan infrastruktur dan infostruktur,
melaksanakan aplikasi perdana, serta membina pusat multimedia bertaraf
dunia untuk menarik syarikat antarabangsa menjalankan perniagaan di
MSC. Jumlah jualan syarikat MSC dijangka meningkat kepada hampir
RM5.7 bilion tahun ini, berbanding RM3.4 bilion pada 2001. Di samping
itu, sejumlah 18,900 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan sehingga
akhir tahun ini di mana 85 peratus adalah bagi pekerja mahir dengan 88
peratus terdiri dari pekerja tempatan. Perkembangan yang menarik ialah
beberapa syarikat gergasi antarabangsa telah menempatkan pusat operasi
mereka untuk seluruh dunia di Cyberjaya.
Tidak hairanlah, Malaysia adalah negara pertama memperkenalkan Mykad
sebagai kad pintar pelbagai guna yang berasaskan teknologi cip dan
biometrik serta mempunyai ciri keselamatan yang tinggi. Mykad
mengandungi maklumat pemegang seperti sijil kelahiran serta maklumat
aplikasi awam yang diperlukan untuk berurusan dengan agensi kerajaan.
Di samping itu, Mykad juga telah diperluaskan meliputi aplikasi ATM,
MEPS cash serta Touch `n Go. Beberapa lagi aplikasi boleh dimasukkan
dalam Mykad. Dalam hubungan ini, national roll-out akan dilaksanakan
supaya semua rakyat akan mempunyai Mykad pada 2005. Bagi tujuan ini,
Jabatan Pendaftaran Negara akan dilengkapkan dengan kakitangan dan
peralatan secukupnya di samping menubuhkan unit-unit bergerak bagi
menampung keperluan pendaftaran di kawasan luar bandar.
155
Dalam national roll-out ini, kerajaan juga bercadang untuk memasukkan
maklumat tambahan antaranya status perkahwinan dan constituency
mengundi. Dengan maklumat ini, maka pihak penguatkuasa mencegah
khalwat tidak tersalah tangkap dan parti tertentu tidak mudah memindah
pengundi. Memandangkan Mykad merupakan satu dokumen yang amat
penting, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengeluarkannya
secara percuma untuk aplikasi kerajaan, kecuali untuk pembaharuan. Oleh
yang demikian, tidak ada sebab untuk tidak menukar kad pengenalan
kepada Mykad. Namun, mereka diberi tempoh untuk berbuat demikian
sehingga akhir 2005.
Bagi mengurangkan jurang digital, Kementerian Tenaga, Telekomunikasi
dan Multimedia sedang melaksanakan Program Connectivity, bertujuan
menyediakan akses Internet ke kawasan-kawasan pedalaman Sabah dan
Sarawak. Untuk peringkat pertama, sebanyak 250 sekolah akan mendapat
kemudahan ini, yang mana boleh juga dikongsi bersama oleh masyarakat
setempat. Bagi perkhidmatan e-Perolehan, setakat ini perkhidmatan yang
telah dilancarkan ialah pendaftaran bagi pembekal, perolehan melalui
kontrak pusat dan pembelian terus. Menjelang 2003, dua lagi jenis
perolehan akan dilancarkan iaitu perolehan melalui tender dan sebut
harga. Dengan pelaksanaannya, Malaysia akan menjadi negara pertama di
dunia berjaya membuat perolehan sepenuhnya secara elektronik,
termasuk pembayaran melalui electronic fund transfer.
Satu lagi industri yang berpotensi untuk dimajukan oleh pengusaha
Malaysia ialah pendidikan atau pelajaran. Permintaan untuk pendidikan
telah meningkat dengan tinggi kerana perkembangan k-ekonomi. Ratarata
pekerja yang berpengetahuan, knowledge workers, diperlukan. Juga
kefasihan dalam Bahasa Inggeris sudah menjadi begitu penting. Malaysia
mampu menjadi center of excellence dalam bidang komputer software,
contents, computer animations, simulasi 3D dan berbagai lagi.
Pelaburan dalam bidang pengajaran dan latihan ini tetap akan
mendatangkan pulangan yang baik. Kerajaan bersedia memberi kebenaran
untuk pensyarah dan guru asing dalam bidang ini untuk mengajar di
institusi swasta yang dapat memberi latihan dan pelajaran kepada
penduduk tempatan dan asing. Kerajaan juga bersedia untuk mengkaji
cadangan-cadangan dalam bidang pendidikan ini yang boleh
menyumbang kepada Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
Keadaan itu menyebabkan sistem perundangan siber negara juga perlu
dimantap lagi dan meluaskan skopnya seiring dengan situasi semasa.
Malaysia sebenarnya adalah antara negara pertama di dunia yang
memperkenalkan undang-undang siber yang komprehensif seiring dengan
perkembangan pesat Koridor Raya Multimedia (MSC) negara seperti Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta
156
Tandatangan Digital 1997, Akta Teleperubatan 1997 dan pindaan Akta
Hak Cipta 1997. Bermula dengan semua perkembangan teknologi itu dan
kejayaan yang dicapai, Malaysia memperkenalkan undang-undang siber
yang merangkumi;
8.2.1 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mensyaratkan Forum Kandungan
setelah mengadakan rundingan-rundingan wajar, menyediakan dan
membentuk suatu Kod Kandungan dan menguatkuasakan kod tersebut
yang mengandungi piawai-piawai dan amalan-amalan dalam industri
komunikasi dan media. Kod kandungan yang diterima pakai oleh Forum
Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tujuan memenuhi
kewajipan undang-undang membentuk garispanduan dan tatacara amalan
dan piawai kandungan yang baik untuk disebarkan kepada orang ramai
oleh penyedia-penyedia perkhidmatan dalam industri komunikasi dan
multimedia Malaysia. Dalam akta ini, terdapat Forum Kandungan
Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan Menurut Forum
Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (2004)
menjelaskan secara keseluruhannya, matlamat dasar kebangsaan bagi
industri komunikasi dan multimedia dan keperluan mewujudkan piawaian
perilaku yang dipersetujui terhadap mereka yang terlibat dalam industri ini
dan juga untuk:
(i) Menggalakkan pewujudan masyarakat madani yang didalamnya
perkhidmatan berdasarkan maklumat akan menyediakan asas bagi
peningkatannya yang berterusan kepada kualiti kerja dan hidup.
(ii) Mengawal selia faedah jangka panjang pengguna akhir.
(iii) Menggalakkan tahap keyakinan pengguna yang tinggi dalam
penyampaian perkhidmatan.
(iv) Mencambah dan memupuk sumber maklumat dan perlambangan
budaya tempatan yang membantu mengetengahkan identiti
kebangsaan dan kepelbagaian sejagat.
Menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi
perkhidmatan komunikasi dan perkhidmatan maklumat dan kandungan
multimedia. Selain itu, anda boleh mendapat keterangan lanjut akta ini di
dalam bab yang sama di bawah.
8.2.2 Akta Jenayah Komputer 1997
Memandangkan Malaysia tidak terkecuali dan terlepas dengan jenayah dan
ancaman siber maka Akta Jenayah Komputer 1997 wujud untuk
mengimbangi perkara berkenaan. Akta ini digunakan terhadap sesiapa
sahaja tanpa mengira kewarganegaraan seseorang dan kesalahan di bawah
157
akta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira samada di dalam
atau di luar Malaysia asalkan ia melibatkan komputer yang berada di
Malaysia.
Bagi akta ini istilah komputer didefinisikan sebagai ”suatu peranti
elektronik, magnet, optik, elektrokimia atau peranti pemprosesan data
yang lain, atau sekumpulan peranti tersaling sambung atau yang berkaitan,
yang melaksanakan fungsi logik, aritmetik, storan dan paparan, dan
termasuklah apa-apa kemudahan storan data atau kemudahan komunikasi
yang berkaitan, tetapi tidak termasuk suatu mesin taip atau mesin
pengatur huruf berautomat, atau suatu mesin hitung pegang tangan
mudah alih atau peranti seumpama yang lain yang tak boleh diatur cara
atau yang tidak mengandungi apa-apa kemudahan storan data,” [Suhani
Muda dan Ahmad Shamsul Abd Aziz (2004)] Terdapat beberapa jenis
kesalahan di bawah akta ini.:
(i) Capaian tanpa kuasa.
(ii) Capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan kesalahan.
(iii) Mengubah kandungan komputer.
(iv) Komunikasi salah.
(v) Bersubahat melakukan kesalahan.
Bagaimanapun, dalam proses mensabitkan seseorang dengan kesalahan
jenayah harus dibuktikan memenuhi dua elemen iaitu mens rea (niat jahat
seseorang) dan actus reus (tindakan atau perbuatan jahat).
Akta sedia ada sebenarnya masih belum mencukupi menyekat kegiatan
jenayah berkaitan ICT dan siber. Walaupun perundangan siber di negara
di Malaysia diakui ramai sebagai yang paling menyeluruh, namun
keberkesanannya masih belum teruji sepenuhnya memandangkan kes
jenayah siber yang serius dibawa dan didakwa di mahkamah masih
kurang. Walaupun keadaan ini turut berlaku di kebanyakan negara
memandangkan undang-undang ini masih baru, hanya di Eropah sahaja
yang dilihat sedikit ke hadapan dalam bidang ini kerana mempunyai
protokol-protokol tertentu yang ditetapkan.
Malaysia juga perlu memperkasa undang-undang siber yang diguna pakai
di negara ini dengan merumuskan lebih banyak peruntukan bagi
membendung atau menghukum pesalah jenayah itu untuk memastikan
sektor ICT mampu terus berkembang pesat. Penyelaraskan undangundang
siber dan transaksi elektronik perlu sejajar dengan perkembangan
terkini dalam perdagangan elektronik (e-dagang). Biarpun begitu, dari segi
perlindungan pengganas, Malaysia antara negara pertama
memperkenalkan kad pengenalan pintar yang membolehkan pihak
penguat kuasa mendapatkan maklumat pembawa kad dengan cepat dan
tepat.
158
8.2.3 Akta Tandatangan Digital 1997
Akta Tandatangan Digital 1997 mendefinisikan tandatangan digital
sebagai penjelmaan sesuatu mesej dengan menggunakan sistem kripto tak
semetri dengan sedemikian seseorang yang mempunyai mesej awal itu dan
kunci awam penandatangan boleh menentukan dengan tepat (Suhani
Muda dan Ahmad Shamsul Abd Aziz (2004).
Malahan, tandatangan digital ini memudahkan perdagangan elektronik (edagang)
sebagai satu kaedah operasi dan bagi memantau tandatangan
digital yang dibuat di dalam setiap transaksi elektronik. Seksyen 62, Akta
berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau
dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya bagi
kesalahan berkaitan tandatangan digital. Seksyen 72 pula memantau
aktiviti membuka rahsia maklumat yang diperolehi di bawah akta ini di
samping tanggungjawab kerahsiaan dalam setiap aktiviti dan urusan.
(http://mohamadsofee.blogspot.com/2008/08/ancaman-siberdan-
pemantapan-undang.html)
8.2.4 Akta Teleperubatan 1997
Akta Teleperubatan 1997 pula mengawal selia aktiviti teleperubatan di
negara kita. Teleperubatan membawa maksud amalan perubatan dengan
menggunakan komunikasi audio, visual dan data. Seksyen 3, Akta
Teleperubatan 1997
1. tiada seseorang pun, selain;
(a) pengamal perubatan berdaftar penuh yang memegang suatu
perakuan amalan yang sah atau;
(b) pengamal perubatan yang didaftarkan atau dilesenkan di luar
Malaysia dan:
(i) memegang perakuan untuk mengamalkan teleperubatan yang
dikeluarkan oleh Majlis; dan
(ii) mengamalkan teleperubatan dari luar Malaysia melalui
seseorang pengamal perubatan berdaftar penuh yang
memegang perakuan amalan yang sah boleh mengamalkan
teleperubatan.
Sebagai contoh, ketika Sukan Komanwel 1998, perkhidmatan perubatan
dan teleperubatan telah dihubungkan kepada pusat perubatan di Amerika
Syarikat dan Britain untuk mendapatkan nasihat pakar ke atas diagnosis
dan rawatan atlit-atlit dan pelawat-pelawat. Kaedah ini juga membolehkan
doktor menghantar fail-fail pesakit atau dokumen yang berkaitan seperti
159
X-ray dan imbasan ECG secara elektronik, dan membenarkan interaksi
bersemuka antara doktor dan pesakit. Teknologi maklumat yang hebat
dan canggih ini mewujudkan perhubungan pintar antara hospital di rantau
ini serta di seluruh dunia yang membolehkan kepakaran doktor di seluruh
dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.
Akta ini juga memperuntukan peraturan dan kawalan ketat ke atas amalan
teleperubatan seperti kerahsiaan maklumat pesakit dan keperluan
pengamal perubatan mendapatkan kebenaran daripada pesakit sebelum
teleperubatan diamalkan. Menurut Seksyen 3 Akta ini, bagi sesiapa yang
melanggar aturan teleperubatan walaupun mengamalkan teleperubatan
dari luar Malaysia boleh didenda tidak melebihi RM 500,000.00 atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya.
8.2.5 Akta Hakcipta 1987 (Pindaan 1997)
Akta Hakcipta 1987 (pindaan 1997) ditandatangani oleh Yang diPertuan
Agong pada 30 April 1987.Akta ini memansuhkan Akta Hakcipta 1969.
Akta ini dipinda oleh Akta Hakcipta (Pindaan) 1997. Antara sebab utama
pindaan ini ialah berikutan masalah pemindahan karya hak cipta melalui
Internet.
Malaysia ialah satu daripada negara-negara yang menyertai Konvensyen
Berne. Ini bermakna, karya-karya dari semua negara dalam Konvensyen
ini menikmati perlindungan pada taraf yang sama dengan karya-karya di
Malaysia. Walau bagaimanapun, karya dari negara yang tidak menyertai
Konvensyen Berne juga berhak mendapat perlindungan sekiranya karya
itu "mula-mulanya diterbitkan di Malaysia" atau "mula-mulanya
diterbitkan di tempat lain tetapi diterbitkan di Malaysia dalam masa tiga
puluh hari dari penerbitan di tempat lain itu".
(http://ms.wikipedia.org/wiki/Akta_Hakcipta_1987)
Jenis-jenis karya yang dilindungi oleh akta ini ialah:
(i) Karya sastera
(ii) Karya muzik
(iii) Karya seni
(iv) Filem
(v) Rakaman bunyi
(vi) Siaran
Secara umum, hak cipta yang terdapat pada karya sastera, muzik atau seni
selain daripada fotograf wujud sepanjang hayat si pencipta dan wujud
sehingga 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya-karya jenis lain pula,
160
jangka masa hak cipta ialah sehingga 50 tahun selepas karya itu mula-mula
diterbitkan.
Tidak seperti undang-undang hak cipta di negara lain, Malaysia mengakui
hak cipta bagi karya yang dibuat oleh Kerajaan atau pertubuhan Kerajaan.
Ini dinyatakan dalam seksyen 11 (1). Sebagai perbandingan, undangundang
hak cipta Amerika Syarikat tidak merangkumi karya-karya yang
dibuat oleh kerajaan, kecuali sekiranya karya itu adalah untuk tujuan
dagangan atau tujuan-tujuan khas lain. Oleh itu, hampir semua karya yang
dibuat oleh kerajaan Amerika Syarikat adalah di dalam domain awam.
Antara ciri unik yang terdapat dalam Akta Hakcipta 1987 ialah kewujudan
kuasa untuk menguatkuasakan Akta tersebut. Akta ini memperuntukkan
bahawa seorang pegawai polis boleh, dengan waran yang dikeluarkan oleh
majistret, memasuki rumah atau premis pada bila-bila masa untuk
mencari serta menyita apa-apa salinan langgaran hak cipta dan
menggunakan kekerasan bagi menggeledah tempat itu. Oleh itu, untuk
mendapat maklumat lanjut mengenai Akta Hak Cipta 1987 (pindaan
1997), anda boleh mendapat fakta dan maklumat itu dalam Bab sembilan
modul ini.
8.2.6 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998
Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mempunyai kuasa untuk
menyelia dan mengawal aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia di
Malaysia,dan menguatkuasakan undang-undang komunikasi dan
multimedia Malaysia,dan bagi perkara-perkara yang berkaitan.
Menurut Seksyen 4, Penubuhan Suruhanjaya menyatakan sebuah
pertubuhan perbadanan dengan nama "Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia" ditubuhkan di negara ini dan ia merupakan
suruhanjaya adalah kekal turun-temurun. Suruhanjaya boleh mendakwa
dan didakwa atas nama perbadanannya. Bagaimanapun, tertakluk kepada
dan bagi maksud Akta ini,dan atas apa- apa terma yang difikirkannya
patut, Suruhanjaya boleh:
(a) membuat kontrak; dan
(b) berkenaan dengan apa-apa jenis harta alih dan harta tak alih dan
kepentingan mengenai harta alih dan harta tak alih:
(i) memperoleh, membeli dan mengambil harta dan
kepentingan itu; dan
(ii) memegang, menikmati, memindahkan, menyerah-hakkan,
menyerahkan balik, memulangkan, menggadaikan,
161
menggadaijanjikan, mendemiskan, menyerahhakkan
semula,memindahmilikkan,atau dengan apa-apa cara lain
melupuskan atau membuat apa-apa urusan mengenai,harta
dan kepentingan itu yang terletak hak pada Suruhanjaya.
Malahan, Seksyen 37, Suruhanjaya boleh menerima pakai peraturanperaturan,
dan sebagainya dan dalam membuat apa-apa peraturan di
bawah Bahagian ini, Suruhanjaya boleh, dengan kelulusan Menteri,
menerima pakai dengan membuat apa-apa ubahsuaian yang difikirkannya
patut mana-mana peraturan, kaedah, dasar, pekeliling dan arahan yang
diperbuat atau dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, penjelasan kuasa dalam akta ini diperjelaskan dalam
Seksyen 16, Kuasa dan Fungsi Suruhanjaya:
(1) Suruhanjaya hendaklah mempunyai segala fungsi yang
dipertanggungkan ke atasnya di bawah undang-undang komunikasi dan
multimedia dan,tanpa menjejaskan keluasan yang disebut
terdahulu,Suruhanjaya hendaklah juga mempunyai fungsi-fungsi yang
berikut:
(i) menasihati Menteri tentang perkara-perkara berkenaan dengan
objektif dasar kebangsaan bagi aktiviti-aktiviti komunikasi dan
multimedia;
(ii) melaksanakan dan menguatkuasakan peruntukan-peruntukan
undang-undang komunikasi dan multimedia;
(iii) mengawal selia segala perkara yang berhubungan dengan aktivitiaktiviti
komunikasi dan multimedia yang tidak diperuntukkan
dalam undang-undang komunikasi dan multimedia;
(iv) menimbangkan dan mengesyorkan reformasi-reformasi kepada
undang-undang komunikasi dan multimedia;
(v) mengawasi dan memantau aktiviti-aktiviti komunikasi dan
multimedia;
(vi) menggalakkan dan meningkatkan pembangunan industri
komunikasi dan multimedia termasuk dalam bidang penyelidikan
dan latihan;
(vii) menggalakkan dan meningkatkan pengawalan sendiri dalam
industri komunikasi dan multimedia;
(viii) memupuk dan mengekalkan kewibawaan semua orang yang
dilesenkan atau selainnya diberi kuasa di bawah undang-undang
komunikasi dan multimedia;
(ix) memberikan bantuan dalam apa-apa bentuk kepada,dan untuk
menggalakkan kerjasama dan penyelarasan di kalangan,orang yang
terlibat dalam aktiviti-aktiviti komunikasi dan multimedia; dan
(x) menjalankan apa-apa fungsi di bawah mana-mana undang-undang
162
bertulis sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui
pemberitahuan yang disiarkan dalam Warta .
(2) Suruhanjaya hendaklah mempunyai segala kuasa yang perlu bagi,atau
yang berkaitan dengan,atau yang semunasabahnya bersampingan
dengan,pelaksanaan fungsi-fungsinya di bawah undang-undang
komunikasi dan multimedia. (http://www.skmm.gov.my)
Malahan, mengikut Seksyen 213. Kod kandungan:
1. Dalam sesuatu kod kandungan yang disediakan oleh forum
kandungan atau Suruhanjaya hendaklah dimasukkan tatacara
contoh bagi menangani kandungan jelik atau sumbang.
2. Perkara-perkara yang boleh dikendalikan dalam kod itu termasuk,
tetapi tidak terhad kepada:
(i) sekatan terhadap pemberian kandungan yang tidak sesuai;
(ii) kaedah untuk mengkelaskan kandungan;
(iii) tatacara bagi mengendalika aduan orang ramai dan bagi
melaporkan maklumat mengenai aduan kepada Suruhanjaya;
(iv) gambaran budaya Malaysia dan identiti kebangsaan;
(v) maklumat dan pendidikan awam berkenaan dengan
pengawalselia kandungan dan teknologi bagi kawalan
kandungan oleh pengguna akhir; dan
(vi) perkara-perkara lain yang penting kepada masyarakat.
Menurut Mohd Safar Hashim (2002), bekas Menteri Tenaga, Komunikasi
dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie pernah menjelaskan jenayah
siber akan terus berleluasa jika penguatkuasa undang-undang gagal
membentuk dan menyesuaikan undang-undang yang selaras dengan
perkembangan yang sentiasa berubah dalam bidang teknologi.
Bagaimanapun, dalam usaha ini, Kementerian Tenaga dan Komunikasi
dan Multimedia memanggil semua peserta dalam industri komunikasi,
multimedia dan penyiaran berpeluang menyatakan pandangan selain
mendengar penjelasan kerajaan berhubung pelaksanaan Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 menerusi satu bengkel yang diadakan kerajaan
dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Perlaksanaan
itu sangat penting bagi mereka yang mempunyai perniagaan dan operasi
yang tertakluk di bawah akta ini memahami dengan jelas skop dan
kesannya.
163
Semua peserta industri dan organisasi yang berkaitan dijemput untuk
menyertai bengkel dua hari itu pada 22 hingga 23 Februari ini di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Moggie mahukan,
peserta diberi penjelasan lanjut mengenai kesan dan implikasi akta itu ke
atas industri pencantuman, bengkel itu dirancang untuk mewujudkan
suasana interaktif bagi membincangkan akta itu serta menjalin hubungan
baru di antara penggubal dasar, badan pengawalan dan industri.
Keputusan dan cadangan yang dikemukakan daripada peserta bengkel itu
mungkin digunakan sebagai sokongan kepada akta itu ditulis dalam
bahasa perundangan yang lengkap dan tepat.
Antara perkara yang dibentangkan pada bengkel itu termasuk Peraturan
Teknikal-Pengurusan Spektrum, Standard Teknikal dan Penyelesaian
Elektronik; Pengawal Seliaan Kandungan dan Isu Dalam Persekitaran
Baru. Perkara lain yang dibincangkan dalam bengkel itu ialah isu-isu bagi
menangani bidang khusus yang diliputi akta. Antara liputan bengkel ialah
hasil perbincangan awal antara Kementerian, Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia dan pihak industri mengenai undang-undang subsidiari,
peraturan dan garis panduan yang akan membolehkan undang-undang
baru ini dikuatkuasakan.
SOALAN DALAM TEKS
1. Apakah konsep internetworking yang anda fahami?.
2. Huraikan sejarah dan bermula rangkaian Internet
bermula di seluruh dunia secara komersial?.
3. Apakah akta-akta yang diperuntukkan di dalam
Undang-Undang Siber di Malaysia?.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
Cuba anda fikirkan apa akan terjadi jika Tun Dr
Mahathir tidak bersungguh-sungguh melaksanakan
projek Koridor Raya Multimedia (MSC) di Malaysia.
8.3 AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA
Akta Komunikasi dan Multimedia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999
direka bentuk sebagai undang-undang pemangkin kepada pembangunan
164
industri komunikasi dan multimedia. Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 juga adalah undang-undang bersejarah yang menangani isu
percantuman industri telekomunikasi, penyiaran dan perkhidmatan atas
talian.
Akta ini diluluskan bagi menggantikan undang-undang sedia ada iaitu
Akta Telekomunikasi 1950 dan Akta Penyiaran 1988 bagi menyesuaikan
dengan penyatuan antara teknologi komunikasi dan penyiaran serta
sokongan ke atas projek Koridor Raya Multimedia (MSC). Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) juga adalah undangundang
siber yang terpanjang antara enam undang-undang siber yang
digubal di Malaysia setakat ini dan mempunyai 282 seksyen dan satu
jadual. Selain itu, akta ini digubal pada 15 Oktober 1998, dan mendapat
perkenan Agung pada 23 September 1998.
Secara sejarahnya, untuk beberapa tahun sejak siaran radio dimulakan,
negara ini tidak mempunyai sebarang akta rasmi untuk mengawal siaran
radio dan televisyen. Hal ini tidak membawa sebarang masalah kerana
sepanjang tempoh tersebut, kerajaan adalah pemilik dan pengendali
siaran. Tetapi apabila kerajaan memulakan dasar penswastaan, siaran
televisyen juga dimasukkan ke dalam senarai sebagai satu perkhidmatan
yang boleh dibukakan kepada pelabur swasta. (R. Karthigesu 1995)
Dengan kewujudan TV3 pada pertengahan tahun 1984, telah timbul
persoalan tentang kawalan kandungan siaran ini. Perkara ini timbul oleh
sebab, sebagai satu syarikat yang mementingkan keuntungan, TV3 ghairah
memberi hiburan yang dipenuhi dengan unsur-unsur seks dan keganasan.
Yang merumitkan perkara ini ialah kelakuan Radio Televisyen Malaysia
(RTM) yang turut meniru TV3 untuk menarik penonton. Dengan itu,
kerajaan telah membentuk sebuah akta yang diberi nama Akta Penyiaran
1988, yang secara rasminya telah berkuatkuasa mulai tahun 1989. Semasa
perancangan akta ini mula diheboh-hebohkan pada pertengahan 1987,
suatu harapan dan anggapan telah tercetus, iaitu jika akta ini terlaksana,
maka keganasan dan kelucahan akan berkurangan dalam rancangan TV
kita (New Straits Times 17 Jun 1987).
Bagaimanapun, Akta Penyiaran 1988 dimansuhkan diganti dengan Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998. Antara objektif penubuhan akta ini
ialah:
(i) Menggalakkan matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi
dan multimedia.
(ii) Mewujudkan rangka pelesenan dan pengawalseliaan bagi
menyokong matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi
dan multimedia.
165
(iii) Mewujudkan kuasa dan fungsi Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia.
(iv) Mewujudkan kuasa dan tatacara bagi pelaksanaan akta ini.
Menurut Md Ishak Hassan dan Saiful Nujaimi Abdul Rahman (2001)
memberitahu bahawa ekoran daripada pengaruh komunikasi masa depan
yang begitu besar, pelbagai negara telah tampil mengemukakan pelbagai
akta, garis panduan dan undang-undang untuk mengawalnya. Hakikat itu,
diakui oleh bekas Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin
yang berucap di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada penghujung
tahun 2000 mengakui prospek perniagaan multi media yang membabitkan
Internet diramal bakal mencecah angka 1.3 trillion dolar Amerika
menjelang tahun 2005 dan sekarang jumlah itu semakin meningkat.
Dengan itu, beberapa negara sudah tampil untuk menggubal undangundangnya
tersendiri untuk melindungi perniagaan multimedia dan
seluruh urusan dalam bidang berkenaan dan Malaysia adalah negara
terawal merangka akta itu.
Persoalannya mengenai kenapa akta ini diperkenalkan kerana
permasalahan besar yang dialami oleh Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa daripada 25 laman web lucah yang
sangat popular terutama di kalangan remaja hanya dua yang boleh disekat.
Selebihnya tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk
menyekat atau menutup laman web berkenaan disebabkan undangundang
sedia ada tidak dapat menangani masalah itu.
Walaupun kita mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM)
1998 pengendali laman web pula dikatakan mampu mengelak undangundang
mengikut akta itu yang longgar dan pemeriksaan pengawasan pula
hanya dijalankan secara rambang serta berdasarkan aduan mengikut
dakwaan sesetengah pihak.
Mengikut Kod Kandungan, Komunikasi dan Multimedia, tafsiran lucah
ialah sekiranya boleh menimbulkan rasa jijik kerana gambarannya
memberahikan dan menyinggung tanggapan adab berhubung kesopanan
dan kehormatan. Ujian kelucahan juga dinilai dengan melihat kepada
kandungan itu mempunyai kecenderungan merosakkan pemikiran sesiapa
yang terdedah kepada komunikasi berkenaan dengan memberi perhatian
kepada adegan seks terlampau atau pornografi, pornografi kanak-kanak
dan penghinaan seksual. Mengenai caj bayaran dikenakan untuk melayari
web, ia jelas melanggar peraturan mengikut Seksyen 233 (2) (a) kerana
memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial. Bagaimanapun,
bayaran itu tidak dikawal selia dan ia juga tidak boleh dikaitkan sama ada
web itu sah atau tidak.
166
Bercakap mengenai hal ini, timbul persoalan adakah pengendali web
lucah tak terlepas tindakan dan benarkah pengendali laman web lucah
boleh berselindung di sebalik terma `persetujuan pengunjung' untuk
mengelak dikenakan tindakan? Dalam hal ini, pernah seorang peguam,
Abu Bakar Sidek dalam Md Ishak Hassan dan Saiful Nujaimi Abdul
Rahman(2001) menjelaskan bahawa sebenarnya pengendali berkenaan
boleh dikenakan tindakan kerana jelas bertentangan dengan tujuan
penubuhan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 iaitu
menjamin perkembangan sihat.
Berdasarkan peruntukan seksyen 211, AKM 1998, membawa maksud
mengekal, menjamin perkembangan sihat dalam dunia siber, kegiatan
menghantar atau menyebar bahan lucah adalah bertentangan dengan nilai
moral. AKM 1998 menjelaskan maksud sesiapa yang menghantar,
menyebar bahan lucah di internet boleh dikenakan tindakan walaupun
mereka menggunakan alasan ada kerelaan pengunjung web.
Sebelum ini, banyak pihak mempersoalkan AKM 1998 yang dilihat
longgar dalam mengawal perkembangan penyebaran bahan lucah
berikutan terlalu banyak laman web lucah berpangkalan di dalam dan luar
negara yang boleh diakses secara mudah. Pengendali laman web itu
berselindung di sebalik `persetujuan pengunjung' yang mematuhi terma
ditetapkan, secara sukarela walaupun ada yang mengenakan bayaran.
Taktik itu membolehkan mereka mengelak daripada tindakan kerana ia
dilakukan tanpa paksaan dan bersyarat.
SOALAN DALAM TEKS
4. Apakah yang anda fahami dengan Akta Komunikasi
dan Multimedia (AKM) 1998?. Huraikan dan
nyatakan bila ianya dirangka dan dilaksanakan.
5. Apakah Akta Jenayah Komputer 1997.
6. Apakah yang dimaksudkan dalam Seksyen 213,
Kod Kandungan?.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
Cuba anda fikirkan kenapa laman web yang
mengandungi unsur kelucahan menjadi perhatian dalam
penggunaan Internet.
167
8.4 RUMUSAN
Hari ini, seesebuah negara yang bertindak bersendirian tidak mungkin
dapat mengelak daripada berdepan ancaman serangan siber.
Memandangkan jaringan Internet boleh melangkaui sempadan tanpa
mengira negara dan negeri hingga menyebabkan dunia terdedah dengan
ancaman siber, mahu tidak mahu semua pihak perlu bekerjasama. Oleh
yang demikian, pihak kerajaan, swasta, golongan akademik, pakar dan
individu, kita perlu berganding bahu melindungi sistem kita daripada terus
menerima ancaman siber.
Ini berikutan dunia siber telah menjadi sebahagian daripada kehidupan
manusia moden. Jika suatu masa dahulu kita hanya mengenali dan
didedahkan dengan realiti alam siber di kaca televisyen dan layar perak
sahaja melalui imaginasi dan fantasi filem dan drama fiksyen. Namun kini
kita sedang berada di alam siber yang sebenar sepertimana yang sedang
dilalui ketika ini sama ada kita sedar ataupun tidak. Dunia siber yang
masih baru ini menjadi semakin penting dalam segala aspek dan
merupakan fenomena yang sedang melanda tatacara serta susun atur
kehidupan manusia moden. Keadaan ini memerlukan alam siber yang
penuh cabaran ini perlu dikawal, diatur dan dipantau secara konsisten
melalui sistem dan perancangan yang komprehensif. Ini adalah kerana
alam siber mampu meninggalkan kesan yang positif dan negatif kepada
sesebuah negara dan rakyat. Pendekatan kerajaan, sikap rakyat dan
sokongan perundangan sangat penting disinergikan bagi memastikan alam
siber memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan dan
bukannya digunakan sebagai medan untuk meruntuhkannya.
Sehubungan itu, amaran akan musibah, bahaya dan ancaman siber tidak
boleh dipandang ringan. Ini kerana dalam dunia tanpa sempadan dan
kawalan, sesiapa sahaja sama ada individu atau kumpulan dengan mudah
bertindak menceroboh dan melakukan segala macam kerosakan serta
kemusnahan kepada sesebuah masyarakat moden dan negara jika kita
gagal dan cuai membendungnya.
Kesan dan akibatnya juga boleh membawa mudarat dan kemusnahan
kepada kehidupan di muka bumi ini walaupun seseorang yang berniat
jahat itu berada jauh beribu-ribu kilometer dari tempat sasaran iaitu
dengan hanya semudah memetik butang komputer atau apa sahaja
peralatan yang berkaitan dengannya. Dengan inovasi dan teknologi
terhadapan hari ini yang semakin canggih dan sofistikated, segalanya
boleh dilakukan dengan mudah di alam siber ini sama ada untuk tujuan
kebaikan dan keburukan.
168
Transformasi siber menjadikan perhubungan dunia menjadi bertambah
mudah dan pantas sekelip mata di mana segala urusan kehidupan berada
di dalam satu sistem yang cukup sempurna dan teratur. Internet
umpamanya adalah pelengkap kepada alam siber dan menjadikannya
medium paling berpengaruh dan cukup mustahak kepada kehidupan
manusia hari ini. Malaysia sebagai sebuah kerajaan elektronik (e-kerajaan)
dalam hal ini tidak pernah ketinggalan dan dengan sokongan politik yang
cukup kuat, kemudahan siber diaplikasikan hampir dalam segala bidang
sama ada urusan berkaitan perkhidmatan awam, perbankan, perhubungan
dalam dan luar negara, pendidikan, komunikasi dan sebagainya.
Namun begitu, semua perlulah berwaspada dengan ancaman jenayah
siber yang semakin berleluasa dan mampu membawa padah yang sangat
besar jika disalahguna sehingga boleh meruntuhkan sistem ekonomi,
prasarana dan institusi serta menyebabkan kecederaan atau maut kepada
orang ramai. Ancaman siber seperti spamming, pembiakan dan
penyebaran virus, pengodam maya, e-mail bombing, penggunaan kata
laluan orang lain, menipu, penyebaran bahan lucah, skim cepat kaya dan
piramid, judi siber, penipuan kad kredit, peras ugut, pengintipan industri,
pelaburan haram dan sebagainya juga mampu merosakkan sistem dan
infrastruktur negara yang impaknya boleh mengakibatkan kematian,
kecederaan manusia selain mampu melumpuhkan sistem ekonomi, sosial
dan politik sesebuah negara.
Kerajaan Malaysia setakat ini melalui perancangan dan plan yang
disediakan, komited mengawasi dan menjaga ruang lingkup siber negara
daripada diceroboh dan dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab. Kerajaan juga sentiasa memantau dan mengawal
perkembangan laman-laman web dan blog menerusi Pusat Keselamatan
Siber Nasional (PKSN) dan buat masa ini, perkhidmatan bank, air dan
keselamatan umpamanya terikat dengan teknologi maklumat (IT) global.
Malaysia juga patut melabur lebih banyak dalam penguatkuasaan undangundang
jenayah siber dan kerajaan perlu tegas dalam menghukum pesalah
yang menjadikan dunia siber sebagai medan untuk melakukan jenayah dan
aktiviti menyalahi undang-undang negara.
BAB SEBELAS
IMPLIKASI DASAR DAN UNDANG-UNDANG
KOMUNIKASI
OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda akan dapat:
1. Mengetahui mengenai implikasi dasar dan undang-undang
komunikasi dalam konteks masyarakat Malaysia.
2. Mengetahui bagaimana peranan kerajaan menangani masalah
dasar dan undang-undang komunikasi yang sudah digubal.
3. Mempelajari implikasi setiap undang-undang yang digubal oleh
kerajaan.
4. Memahami konsep undang-undang menjadi teras kepada
pendekatan kerajaan dalam melaksanakan akta ini.
11.1 PENGENALAN
Dalam modul ini, pelbagai kupasan dan bab disediakan untuk
membolehkan kita memahami dasar dan undang-undang komunikasi
yang wujud dan dilaksanakan di Malaysia. Bab ini akan menyentuh sejauh
mana undang-undang dan dasar komunikasi itu memberi kesan kepada
orang ramai dan masyarakat.
Kewujuan undang-undang atau akta-akta yang diterangkan sebelum ini
telah menimbulkan polemik pro dan kontra. Satu pihak menganggap
kewujudan adalah sebagai sekatan terhadap perkembangan daya intelek
dan kreativiti seseorang penulis, manakala satu pihak lagi beranggapapan
kewujudan undang-undang adalah satu fenomena biasa (Kamal Halili
Hassan, 1990).
11.2 IMPLIKASI TERHADAP MASYARAKAT
Semua orang amat percaya kepada kebebasan bersuara. Malahan, setiap
orang mempunyai hak menyatakan pandangan dan membuat kritikan.
Satu daripada asas sebuah masyarakat sivil ialah kebebasan media. Malah,
amalan demokrasi yang sebenarnya tidak menafikan hak individu untuk
menyatakan pendiriannya. Masyarakat Malaysia sudah melalui
transformasi yang luar biasa. Sebahagiannya kerana asakan dunia
222
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Malah, apabila gelombang
ICT mula dirasakan, Malaysia menjadi antara negara yang paling awal
`menyambutnya.'
Kerajaan sudah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Multimedia (masa
itu dikenali sebagai MDC) bagi memacu laluan negara dalam teknologi
maklumat. MDC bertanggungjawab merangka program yang dikenal
sebagai Koridor Raya Multimedia atau MSC.
Sehubungan itu, sebagai negara membangun kita membuka diri untuk
menerima sepenuhnya ICT? Apakah rakyat kita mampu memanfaatkan
ICT sebaiknya dan tidak menyalahgunakannya? Tumpuan pada masa itu
hanyalah pada isu yang lebih besar membabitkan aplikasi ICT dalam
pentadbiran negara, kesihatan rakyat, pendidikan, perdagangan dan
sebagainya.
Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 90-an mengenai tsunami
maklumat dan ilmu yang mengalir bersama sungai yang dikenal sebagai
Internet. Pada masa itu, tidak ramai orang yang menjangka kesan dan
implikasi Internet. Pada masa itu kita sekadar bercakap mengenai
kemungkinan, harapan dan rancangan. Masa itu hanya ada tapak web,
blog masih belum wujud, mesin carian seperti Google dan Yahoo masih
belum teruji.
Satu daripada kerisauan kerajaan ialah jurang digital yang akan berlaku di
kalangan rakyat. Malahan, pihak kerajaan yakin bahawa pemisahan bukan
lagi di antara mereka yang berada dan mampu dengan yang tidak tetapi di
antara mereka yang menguasai ICT dengan yang tidak. Dunia ilmu,
maklumat dan berita akan ditentukan oleh keupayaan dan penguasaan
ICT.
Kalau kita lihat dalam dekad 90-an itu, kita belum bercakap mengenai
alam siber dan dunia digital seperti yang kita fahamkan hari ini. Kita juga
tidak membayangkan pengaruh telefon bimbit dan aplikasinya dalam
dunia komunikasi, apa lagi khidmat pesanan ringkas (SMS). Kerisauan
kerajaan ketika itu mengenai jurang digital itu disebabkan kerajaan
mendapati anggota masyarakat yang lebih lembap menerima teknologi.
Malahan, suasana itu menyebabkan nada kekhuatiran ada pelajar yang
tidak mendapat pendedahan teknologi maklumat. Akan berlaku
pemisahan lebih menonjol di antara bandar dengan luar bandar.
Bagaimanapun, dalam beberapa tahun selepas itu kerajaan memantau
bilangan pelanggan Internet negara ini. Pada tahun 1999 dipercayai secara
purata hanya terdapat 25 peratus pelanggan Internet di kalangan rakyat.
Daripada segi jumlah, pada tahun 2000 misalnya hanya terdapat 3.5 juta
pengguna Internet.
223
Tetapi tahun 1999 menjadi titik tolak penting bagaimana ICT mengubah
pola berkempen dalam pilihan raya. Internet menjadi senjata berkesan
bagi penentang kerajaan menyampaikan berita dan maklumat kepada
umum. Internet menjadi sumber utama di mana bahan dimuat-turun dan
diedarkan secara meluas. Mangsa sasaran bahan ini ialah Perdana Menteri
dan kerajaan. Kerajaan tidak berganjak dengan meneruskan Agenda ICT.
Kementerian Pelajaran menjadikannya agenda penting memperkasa
sekolah di bawah kelolaannya. Pilihan Raya Umum 2008 sekali lagi
memperlihatkan bagaimana Internet menjadi wahana menyebar berita
dan maklumat. Cuma kali ini, apa yang satu waktu dianggap kecil yakni
'blog' memberikan impak yang tersendiri. Sama ada pengaruh blog dan
mereka di belakangnya, bloggers, dibesar-besarkan itu isu yang lain.
Tetapi blog politik ternyata mempunyai kesannya dalam mempengaruhi
sebahagian pengundi. Apa yang penting ialah blog tidak lagi boleh
diketepikan sebagai alat berkempen`yang penting.
Hari makin hari, pengguna Internet semakin bertambah dengan banyak.
Daripada jumlah 3.7 juta pengguna pada tahun 2000, pada tahun 2005
terdapat 10 juta pengguna Internet. Di ambang Pilihan Raya Umum Ke-
12, terdapat 13.5 juta pengguna Internet di negara ini. Jumlah ini hampir
separuh rakyat negara.
Keadaan itu menyebabkan lebih lima bilion tapak web di alam siber hari
ini, 70 juta adalah blog. Kewujudan itu menyebabkan di Malaysia
mempunyai lebih 500,000 bloggers, sebahagiannya berbuat demikian
untuk tujuan sosial. Blog politik dan bloggers yang sekali-sekala
memberikan pendirian politik dipercayai hanya lima peratus dari bilangan
itu. Hanya terdapat kira-kira 50 orang yang dianggap blogger politik yang
serius dan sepenuh masa di negara, dari jumlah itu hanya kira-kira 20
orang yang terkenal dan `digeruni.' Blog murah dan berkesan. Ia menjadi
tarikan generasi muda.
Satu hakikat yang harus diterima ialah bahawa kerajaan berjanji, sejak
bermulanya MDC dan MSC, bahawa tidak akan berlaku tapisan Internet
atau Internet censorship. Pada tahun 1998, Akta Komunikasi dan
Multimedia secara jelas menyebutkan bahawa kerajaan komited untuk
memastikan bahawa tapisan Internet tidak akan dilakukan. Ini bermakna
dunia siber bebas dan terbuka. Sesiapa yang menuduh kerajaan
mengenakan tekanan ke atas berita dan maklumat yang tersebar harus
melihat apa yang terpapar dalam dunia siber hari ini.
Sudah tentulah kebebasan itu relatif. Memang kita harus menerima
kebebasan media dan hak untuk bersuara. Tetapi kebebasan itu tidak
mutlak. Kebebasan itu harus datang dengan tanggung jawab. Dalam
224
negara pelbagai kaum seperti Malaysia yang harus menangani isu
sensitiviti pelbagai kaum, budaya, agama dan adat resam, maka pengamal
media harus bijaksana menggunakan kebebasannya. Ini termasuklah
pengguna alam siber dan bloggers.
Dunia siber bukan dunia tanpa undang-undang dan peraturan. Ia tidak
harus menjadi dunia koboi di mana lawlessness bermaharajalela. Kebebasan
itu tidak harus disalahgunakan. Tidak ada perlindungan pada pengguna
Internet untuk menyebarkan fitnah dan hasutan. Banyak negara tidak
perlu mendaftar bloggers. Tetapi apapun peraturan yang membabitkan
akta, peruntukan undang-undang mengenai fitnah atau libel boleh
dikenakan pada mereka yang melanggarnya. Tidak ada sesiapa yang
berada di atas undang-undang, baik pemimpin, editor, wartawan, juga
bloggers.
Lebih penting lagi ialah kebebasan di Internet itu seharusnya menjadi titik
tolak untuk menunjukkan kematangan rakyat dalam menangani
kebebasan. Ini peluang terbaik untuk berdialog cerdik, untuk berhujah
secara terbuka dan rasional dan untuk membuktikan bahawa kita
memanfaatkan medium itu secara waras dan bijaksana.
Seorang propagandis pada waktu pemerintahan Adolf Hitler di Jerman
menyebutkan pembohongan diulang 10 kali akan menjadi kebenaran. Di
dalam Internet hari ini, prinsipnya ialah pembohongan yang muncul,
disebarkan 10 kali menjadi kebenaran. Kritikan tidak banyak maknanya
lagi. Apa yang muncul selalunya ialah maki hamun dan sumpah seranah
dengan bahasa yang kesat dan buruk. Emosi berleluasa dan sentimen
menguasai hujah. Ada kalanya pelbagai bahan yang jelas memburukburuk
dan memfitnah orang lain tersebar secara bebas. Internet menjadi
lesen untuk menyebarkan apa saja gambar, bahan dan maklumat yang
belum tentu betul dan benar.
Mungkin harus ada etika dalam dunia siber, seperti juga etika kita
berkomunikasi sesama manusia. Dunia yang tidak ada adab dan budi
bahasa akan menuju ke arah anarki, kehancuran nilai dan tamadun. Dunia
siber sepatutnya cerminan dari ketamadunan itu sendiri. Dunia siber
memancarkan pencapaian kita dalam teknologi yang tercanggih dan
terbaru. Di sinilah ujian untuk membezakan peradaban dengan
kebobrokan, di antara kemuliaan nilai dan kehancuran budi bahasa.
Kita tidak menolak asakan ICT kerana salah gunanya. Tetapi pengguna
dunia siberlah yang harus meletakkan piawaian, etika dan nilai yang
dimahukan. Jumlah yang menyalahgunakannya bukan ramai, maka itu
tidak ada sebab mengapa yang lain harus dipersalah atau dihukum.
Sebagai contoh implikasi undang-undang yang dapat dilihat dengan jelas
seperti kes di Johor Bahru;
225
Seorang wanita berusia 26 tahun ditahan polis mengikut Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 selepas menyebarkan
maklumat palsu dengan mendakwa polis Johor menyalahguna
kuasa menerusi aduan yang ditulis di Portal Polis Johor.
Wanita itu menggunakan Portal Polis Johor untuk
menyebarkan kenyataan bahawa polis menyalahguna kuasa
dengan menggunakan kereta Pasukan Simpanan Persekutuan
(FRU) dan kenderaan 'Water Cannon' berhubung kes
merobohkan rumah kosong di Kampung Baru Plentong
Tengah. Dalam kes itu, polis menahan wanita itu, mengikut
Seksyen 28, ISA 1960.
(Metro Ahad 19 Oktober 2008)
Dalam hal lain, ada pihak mencadangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Syed Hamid Albar mengadakan kod etika bagi blogger dianggap baik,
selain perlu meneliti semula masalah lama yang berakar umbi iaitu
penerbitan bahan lucah dalam laman web. Tidak dinafikan kod etika
mungkin perlu untuk pengawalan bahan bersifat surat layang tanpa fakta
dan sebagainya seperti yang dinyatakan Presiden All-Blogs, Ahirudin
Attan. Namun begitu semua pihak berharap agar kerajaan dan pihak
berkuasa terus bersama menangani masalah ini.
Bagi masyarakat bawahan, ancaman terhadap mereka ialah bahan
penulisan yang merosakkan minda dan akhlak anak-anak mereka. Bahan
lucah adalah antara penyumbang terbesar salah laku rogol, jenayah liwat
dan sumbang mahram. Bahan penulisan bercetak di pasaran yang berbaur
lucah masih ancaman kepada rakyat kita memandangkan ia sudah lama
merosak jiwa dan minda generasi ini. Kerisauan ibu bapa terhadap anak
mereka amat tinggi memandangkan mereka membesar dalam dunia tanpa
sempadan dan membina dalam dunia siber dan teknologi yang
membunuh potensi jiwa dan akhlak mereka. Undang-undang dan
penelitian serius sebagai tindakan pencegahan boleh dilakukan untuk
mengenal pasti musuh media yang kuat berakar umbi ini ialah bahan
media lucah.
Malahan undang-undang diperlukan oleh pengamal media yang
sewajarnya mematuhi kod dan etika persuratkhabaran walaupun ingin
melariskan jualan akhbar mahupun meraih jumlah pembaca. Media juga
mempunyai garis panduan lengkap mengenai etika penyiaran dan perlu
dipatuhi termasuk paparan gambar membabitkan kanak-kanak, kematian,
situasi sedih atau apa juga perkara yang boleh menimbulkan kesan tidak
baik kepada keluarga mangsa. Dalam kes tertentu, ada individu yang tidak
mahu wajah mereka dirakam ketika berkeadaan sedih, dalam tahanan
226
polis atau perbicaraan di mahkamah, tetapi ada juga situasi yang
membolehkan media memaparkan wajah kanak-kanak.
Beberapa situasi berbeza ini wajar dipatuhi media kerana sebagai
pengamal fotografi, hak awam perlu dihormati. Jika dirujuk kepada kes
membabitkan penyiaran wajah kanak-kanak, media tidak akan bertolak
ansur. Bagaimanapun, kes Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin berbeza
daripada amalan kebiasaan media kerana polis memerlukan pertolongan
awam bagi mengenal pasti mayat kanak-kanak malang itu yang ditemui di
dalam beg dan media menjalankan tanggungjawab sosial dengan
menyiarkan wajahnya. Pada masa yang sama, polis berharap dengan
menyiarkan gambar mangsa, akan ada ibu bapa yang tampil membuat
pengakuan. Begitu juga dengan kes Muhammad Nazrin Ghazali atau adik
Yin. Setiap hari media menyiarkan gambarnya dan sikap prihatin
masyarakat akhirnya membolehkan Yin ditemui.
Media juga perlu mendapatkan kerjasama polis, keluarga mangsa dan
kementerian berkaitan dalam melaporkan berita yang membabitkan
kanak-kanak hilang. Media sedaya upaya mengambil kira pandangan
semua pihak. Tidak ada istilah berat sebelah kerana tanggungjawab media
membuat laporan menyeluruh. Tambahan pula, media terikat dengan akta
dan permit yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Selain itu, media juga berusaha mempertahankan kod dan etika dalam kes
pesalah juvana dengan tidak menyiarkan nama dan wajah pelaku,
sebaliknya hanya perincian kes dinyatakan bagi mengelakkan timbulnya
kesan negatif kepada ahli keluarga serta mengelakkan implikasi undangundang.
(Berita Harian 1 April 2008)
Kes lain yang dapat dinyatakan di sini ialah kes yang dicetus seorang
warga Malaysia yang menuntut di Taiwan dengan menghina lagu
Negaraku menerusi klip video disiarkan di laman web YouTube. Wee
Meng Chee atau Namewee, pemuda berusia 24 tahun yang menuntut di
Universiti Ming Chuan dalam jurusan komunikasi massa berasal dari
Muar, Johor pernah menghina lagu Negaraku, tidak menghormati
kerajaan dan menyentuh sensitiviti umat Islam negara ini.
Tindakannya itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak dan mendesak
supaya Namewee memohon maaf kerana tindakan biadap menghina lagu
kebangsaan serta sensitiviti masyarakat Melayu beragama Islam.
Walaupun akhirnya pelajar terbabit mengaku kesilapannya dan memohon
maaf secara terbuka kepada masyarakat negara ini, perkara itu sepatutnya
menjadi pengajaran kepada masyarakat untuk lebih menghormati perkara
yang ada kaitan dengan semangat kebangsaan. (Berita Harian 13
September 2007).
227
Jadi kejadian seperti itu memerlukan undang-undang kerana kejadian yang
berlaku itu kadangkala menimbulkan pelbagai persoalan, sejauh mana
nilai patriotisme di kalangan masyarakat negara ini Berjaya disemai
sekiranya ada di kalangan kita seolah-olah membenarkan bendera yang
menjadi lambang identiti negara dibakar rakyat sendiri.
SOALAN DALAM TEKS
1. Apakah yang anda fahami mengenai kebebasan
bersuara.
2. Terangkan proses pengenalan dan kesan teknologi
yang berlaku di negara ini.
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
Cuba anda fikirkan kesan penggunaan ICT di Malaysia.
11.3 INDUSTRI
Pelbagai akta diperkenalkan di Malaysia. Kadang-kadang bertindan lapis
penguatkuasannya. Seorang penulis dan menerbit sesuatu penerbitan yang
dianggap berbahaya kepada negara boleh ditahan dan dituduh di bawah
mana-mana akta kerana kesan peruntukan akta-kata itu lebih kurang
sama. Akta seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,
Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Larangan Penerbitan yang
Diimport, Kanun Jenayah dan Akta Hasutan. Semua itu mempunyai
tujuan yang sama untuk menyekat aktiviti penerbitan. Amat sukar sekali
seseorang penulis itu hendak mengkritik khususnya pihak kerajaan kerana
kewujudan akta ini. Kamal Halili Hassan (1990).
Dalam konteks industri, sebagai contoh industri persuratkhabaran,
wartawan yang bekerja dengan syarikat The News Straits Times Press
(NSTP), The Star, Utusan Malaysia dan China Press Berhad terpaksa akur
dengan rentak pemilik atau penerbit kerana di situlah tempat mencari
rezeki. Keadaan itu menyebabkan wujud situasi idealisme dengan
menanggung diri dan keluarga, yang mana menjadi pilihan?. Sudah pasti
ramai yang memilih mementingkan diri dan keluarga kerana sudah terikat
dengan undang-undang dan akta sedia ada. Bahkan, ramai wartawan dan
228
penulis ditahan di bawah ISA dan Akta Rahsia Rasmi apabila mereka
menulis ’lebih’ daripada apa yang dikehendaki untuk disiarkan dalam
akhbar atau media masing-masing.
Bab ini juga kita mengungkap kesan terhadap industri perbankan dan
kerajaan apabila kerajaan tidak memperkenalkan Akta Jenayah Komputer
1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1997, Akta Tandatangan
Digital 1998 dan akta-akta lain yang berkaitan.
Sebagai contoh, amat menakutkan dan mengecewakan apabila wang yang
banyak dalam akaun bank hilang begitu saja atau lesap sedikit demi sedikit
gara-gara kegiatan jenayah siber melalui perbuatan jahat mereka bergelar
`phishing'. Penjenayah siber menggunakan kaedah menipu orang ramai
dengan menghantar e-mel kononnya ingin memaklumkan kepada
pemegang akaun agar memperbaharui akaun dengan mengesahkan e-mel
dihantar.
Kegiatan phishing ini mampu mengaburi mata orang ramai apatah lagi
mereka menggunakan alamat e-mel seolah-olah ia dihantar dari pihak
bank secara sah. Ia akan meminta pelanggan yang memiliki akaun
memasukkan nombor akaun serta kata laluan atau mengklik alamat URL
disediakan bagaikan transaksi biasa dilakukan melalui perbankan `online'.
Namun tanpa disedari perbuatan itu mampu menyebabkan wang dalam
akaun hilang sekelip mata tanpa pengguna mengesan ke mana wang itu
dipindahkan. Bukan satu atau dua bank tempatan yang terbabit, malah
hampir semua bank yang menyediakan perkhidmatan online tidak lari dari
sasaran penipuan phishing apabila terdapat e-mel yang dihantar kepada
pelanggan mereka.Penyebaran e-mel sedemikian yang meminta pelanggan
bank itu memberikan maklumat penting menerusi program
mengemaskini maklumat pemalsuan akaun bank. E-mel yang disebar itu
meminta pengguna memasukkan kata nama dan kata kunci akaun
perbankan dalam talian bank atas alasan mengemas kini maklumat
pelanggan.
Situasi di atas memerlukan Akta Jenayah Komputer 1997 dilaksanakan
bagi menguatkuasakan undang-undang supaya usaha penjenayah siber ini
dikekang walaupun mereka mempunyai tahap kemahiran yang tinggi.
Usaha yang dilakukan kerajaan membolehkan pihak industri melakukan
sesuatu yang terbaik kepada pelanggan mereka.
Ini seperti kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia,
Leftenan Kolonel (B) Husin Jazri, bahawa phishing adalah penipuan
paling popular selain penipuan loteri, pelaburan Internet, pembohongan
dan skim piramid yang menyebabkan pengguna mengalami kerugian
berikutan maklumat peribadi yang terdedah kepada penjenayah siber.
229
Pengguna internet perlu sentiasa berhati-hati ketika memberi maklumat
peribadi dalam laman web, e-mel, sistem mesej segera, bilik bual atau
pada papan mesej untuk mengelak daripada menjadi mangsa.
Selain itu, undang-undang juga perlu diadakan bagi memastikan kegiatan
SMS berbentuk provokasi mudah mengundang kehadiran ramai orang
untuk menghadiri perhimpunan haram meskipun orang pertama yang
menghantarnya mungkin 'main-main'. Orang seperti ini tidak pernah
memikirkan kesan atau implikasi terhadap penyebaran maklumat yang
berbahaya ini. SMS seperti ini boleh menyebabkan banyak nyawa
terancam. Dalam, mana-mana perhimpunan, pelbagai kejadian tidak
diduga boleh berlaku, terutama jika ia penuh dengan provokasi. Peristiwa
13 Mei 1969 adalah berpunca daripada perhimpunan seperti ini yang
penuh dengan provokasi. (Berita Harian 19 Disember 2007)
11.4 KERAJAAN
Satu elemen lain yang mencorakkan landskap politik menjelang pilihan
raya 2008 ialah peranan yang dimainkan oleh web blogs atau blogs.
Wahana yang pada mulanya tempat berinteraksi sosial menjadi senjata
baru dalam perang menawan hati dan perasaan. Pada masa ini
dianggarkan lebih 500,000 pemilik blog atau bloggers di negara ini,
sebahagian kecilnya terlibat dalam politik. Tetapi pengaruh mereka tidak
boleh diambil mudah.
Di dalam buku Blogging and Democratisation in Malaysia: A New Covil
Society in the Making, Jun-E Tan dan Zawawi Ibrahim melihat fenomena
blogging secara ilmiah sambil mengingatkan pembaca tentang pengaruh
bloggers sebagai "thought leaders" (secara mudah pemimpin minda) bagi
generasi baru. Kelompok yang dipanggil "socio-political bloggers" ini
mulai mencorakkan agenda pemikiran politik. Sebahagian besar dari dua
juta bakal pengundi baru pada tahun 2013 merupakan mereka yang biasa
dengan alam blogging.
Bagi generasi baru ini maklumat tidak datang dari media arus perdana
sahaja. Malah penolakan langsung terhadap media arus perdana yang
dikatakan pro-pemerintah menyebabkan mereka mencari pilihan lain.
Apapun yang tersiar dalam media arus perdana dianggap tidak benar atau
propaganda. Maka itu mereka mencari media alternatif sebagai sumber
maklumat walaupun kredibiliti sumber itu boleh dipertikaikan.
Bagi banyak pihak kemunculan suara alternatif melalui kegiatan blogging
ini mencerminkan kematangan proses demokrasi negara. Maklumat
bukan lagi monopoli mana-mana pihak. Kebebasan bersuara menjadi
kenyataan akibat kegiatan blogging. Ini proses yang dimahukan dalam
230
usaha melahirkan masyarakat cerdik, celik dan terbuka. Malah inilah
sebenarnya prasyarat sebuah masyarakat sivil.
Bagi yang lain Internet menjadi alam bebas di mana anarki
bermaharajalela. Siapapun boleh menyatakan pandangan atau mengecam.
Malaysia telah berjanji pada dunia bahawa kita tidak akan menyekat atau
menapis Internet. Ini termaktub dalam Rang Undang-Undang
Komunikasi dan Multimedia tahun 1998. Maka itu bagi mereka yang tidak
bertanggungjawab, Internet akan menjadi medan menghina, mengecam
dan memfitnah.
Selain itu, SMS merupakan fenomena moden yang tidak boleh
diperkecilkan. Pada tahun 2007, sebanyak 2.3 trilion mesej teks dihantar
oleh manusia di dunia ini, meningkat 20 peratus dari tahun sebelumnya.
Pendapatan dari SMS sahaja ialah RM210 bilion bagi pengusaha syarikat
telefon. Malaysia mempunyai 21 juta pemilik telefon bimbit. Kita
menghantar secara purata 84 juta mesej teks sehari atau 32 bilion SMS
setahun pada tahun 2006. Tetapi di antara Januari dan September 2007
sahaja, rakyat Malaysia menghantar 39.8 bilion SMS atau secara purata
144 SMS juta sehari.
Internet dan telefon bimbit akan membawa perubahan besar pada cara
pengundi menentukan pilihan. Teknologi canggih akan menjadi senjata
baru parti-parti politik. Memang benar generasi muda tidak berminat pada
politik. Tetapi itu bukan bermakna mereka tidak mempunyai kesedaran
politik atau hak mereka sebagai pengundi. Obama memenangi pilihan
raya Presiden AS kerana sokongan yang melampaui ras dan tidak kurang
pentingnya sokongan generasi muda. Dalam pilihan raya presiden kali ini
11 peratus pengundi merupakan pengundi kali pertama. Berdasarkan
tinjauan 68 peratus dari mereka menyokong Obama.
Oleh itu, implikasi kepada kerajaan jika tidak memperkenalkan Akta
Fitnah, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Rahsia Rasmi
(1972), Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan akta
berkaitan akan menyebabkan dunia siber ini akan terus bermaharajalela
kerana generasi baru lebih berpaksi dunia IT dan siber dalam segala
urusan harian mereka.Contoh lain, kenapa akta perlu diberi perhatian
serius apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) mendapati terdapat 25 laman web lucah yang sangat popular
terutama di kalangan remaja di negara ini.
Bagaimanapun, dalam kes ini hanya dua yang boleh disekat dan
selebihnya tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk
menyekat atau menutup laman web berkenaan berikutan dakwaan
bahawa pengendali laman web pula dikatakan mampu mengelak undang231
undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang
longgar dan pemeriksaan pengawasan pula hanya dijalankan secara
rambang serta berdasarkan aduan.
Maklumat juga menunjukkan sembilan daripada 25 laman web itu pula
didapati berpangkalan di luar negara dan tiada sebarang tindakan boleh
dikenakan. Tujuh lagi laman web tidak melanggar kehendak seksyen 211,
AKM 1998 selepas didapati pengunjung perlu mendaftar secara sukarela
dan menerima pelawaan daripada pengendali web manakala tiga laman
web lain meletakkan syarat tertentu kepada pengunjung sebelum
dibenarkan melayari kandungannya.
SKMM bagaimanapun, sudah mengenakan tindakan 68 kes, daripada
jumlah itu, 25 kes di bawah tindakan penguatkuasaan di bawah AKM
1998, 38 kes ditutup (termasuk tiada perlanggaran AKM 1998, di luar
bidang kuasa SKMM dan kandungan ditarikbalik, lima kes dalam
siasatan. Dalam isu yang sama, SKMM menerima aduan pada Januari -
Mac 2008 membabitkan 628 (lain-lain perkara) dan 13 (laman web), April
- Jun 2008: 1,076 (lain-lain perkara) dan 35 (laman web) dan pada tahun
2007 membabitkan 2,147 (lain-lain perkara) dan 30 (laman web).
Malahan, maklumat juga menunjukkan terdapat 4.2 juta laman web lucah
di seluruh dunia berdasarkan laman web internet-filter-review pada 2006.
Apa kesannya kepada kerajaan jika tindakan tidak ambil bagi mengawal
persoalan di atas, maka dengan itu, Peruntukan Seksyen 211 dan 233
AKM 1998, kerajaan boleh mengenakan denda maksimum RM50,000
atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000
bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah.
11.5 PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO)
Terdapat pelbagai pertubuhan NGO di negara ini. Ada yang aktif dan
sebahagiannya hanya berdiam diri selepas ditubuhkan. Kelompok NGO
ini akan timbul apabila mereka memperkatakan sesuatu isu untuk
kepentingan NGO itu sendiri. Pemimpin NGO akan mengambil
kesempatan untuk menyertai mana-mana aliran dalam negara bagi
mencapai matlamat yang dirangka. Pertubuhan ini mempunyai tiga unsur
iaitu menyokong kerajaan, menjadi penyokong pembangkang dan mereka
yang memperjuang dasar dalam sesebuah pertubuhan NGO itu sendiri.
Keadaan itu menyebabkan pertubuhan NGO tidak terlepas daripada
undang-undang yang sedia ada digubal oleh kerajaan. Salah satu contoh
ialah kekalutan domestik dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa
adalah pergerakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).
232
Malah, tindakan penyokong Hindraf yang menimbulkan kekecohan ketika
Rumah Terbuka Perdana Menteri serta Menteri Kabinet di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Oktober 2008 disifatkan sebagai
`sangat mengancam' oleh pihak kerajaan. (Berita Harian 17 Oktober
2008)
Hindraf yang diisytiharkan kerajaan sebagai pertubuhan haram adalah
sebuah pergerakan yang terdiri daripada 30 badan bukan kerajaan (NGO)
Hindu. Hindraf mula mendapat perhatian apabila pemimpinnya
mengambil tindakan mengejut memfailkan tuntutan saman ke atas
Kerajaan British di Mahkamah Agung atas alasan London gagal
memastikan hak pekerja India yang dibawa mereka, terjamin di sisi
undang-undang Persekutuan selepas merdeka.
Dokumen berhubung tuntutan itu juga difailkan di Mahkamah British
dengan memfokuskan kegagalan Suruhanjaya Reid yang didakwa gagal
menggariskan dengan jelas kebebasan mereka untuk memuja dan
beragama dalam masyarakat pelbagai bangsa, mengambil kira
pengambilan etnik India dalam Perkhidmatan Awam Malaysia dan
mewujudkan formula polisi ekonomi yang efektif bagi meningkatkan
kedudukan sosioekonomi golongan minoriti India.
Selain itu, undang-undang terhadap NGO perlu dilakukan kerana wujud
kelompok masyarakat yang suka ambil kesempatan ini adalah golongan
yang mementingkan diri, tidak memikirkan tanggungjawab kepada rakyat
dan apa yang penting bagi mereka ialah memastikan cita-cita mereka
tercapai, baik dalam kerjaya politik, keuntungan peribadi atau ada agenda
lain.
Selepas pilihan raya umum ke 12 pada Mac 2008, beberapa tindakan
menyaksikan campur tangan istana dan penggunaan kuasa Raja oleh
pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sesetengah pihak, termasuk NGO
semakin berani dengan tindakan provokatif, termasuk membincangkan
isu sensitif, termasuk kontrak sosial dan isu agama Islam pada majlis
terbuka.
Kenapa ia berlaku kerana ada kelompok masyarakat yang mempertikaikan
hak sah mereka yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan
peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-
Negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan
Persekutuan.
Kenyataan Majlis Raja-Raja jelas mensasarkan kepada kelompok
berkenaan iaitu, kelompok intelegentsia Malaysia. Kelompok kecil inilah
yang sering mempersoalkan isu sensitif dan mereka boleh dianggap
233
golongan yang pandai berfikir, tetapi tidak bijak. Kita tidak pernah
mendengar nelayan di Terengganu mempersoalkan hal ini ataupun
penduduk Felda di Pahang mengadakan forum terbuka membincangkan
isu sensitif. Tidak pernah terjadi kesatuan pekerja, golongan buruh,
pekerja kasar mempersoalkan isu perkauman, kontrak sosial, isu sensitif
dan ia menggambarkan mereka sudah bersyukur dalam sistem hidup yang
ditentukan menerusi peruntukan Perlembagaan yang sudah pun
mengambil kira kepentingan semua kaum.
Hanya golongan tertentu yang berasakan mereka pandai yang berani
melakukan ini, tetapi tidak tahu mentafsir apa akan jadi jika mereka buat
itu, mereka tidak boleh menilai masalah rakyat dan buat semua hal ini
tanpa memikirkan kesan jangka panjang atau meminggirkan perasaan
kaum lain semata-mata membuktikan kehebatan mereka.
11.6 GOLONGAN ELIT
Trend memiliki blog peribadi atau syarikat dilihat semakin berkembang
pesat di Malaysia. Inovasi teknologi siber ini membuka lembaran baru
kepada korpus penulisan dan dunia intelektual komuniti internet dunia.
Memandangkan blog semakin mendapat tempat di khalayak dan minda
masyarakat global serta menjadi alternatif interaksi dan informasi,
pengamal blog harus prihatin dan bertanggungjawab ke atas segala
maklumat, berita dan sumber ingin dikongsikan bersama pembaca.
Apapun persoalannya, segalanya-galanya bermula daripada media atau apa
yang dipanggil saluran. Daripada data penjualan barangan dan
perkhidmatan, semuanya mengalami transformasi secara radikal, fungsi
Internet cukup berkesan hingga menjadikannya `technomania' dekad 90-
an. Ia akan menjadi agenda harian kehidupan manusia abad ke-21.
Keadaan itu menyebabkan undang-undang perlu digubal bagi menangani
masalah tertentu dalam negara kerana kemajuan teknologi Internet yang
semakin hebat.
Walaupun pada dasarnya, Internet ialah medan bebas dan berdemokratik
serta tidak dikuasai oleh sesiapa, namun ancaman sebenar yang wujud
daripada penggunaannya ialah wujudnya jurang antara yang kaya dengan
yang miskin. Wujud jurang golongan elitis maklumat baru di antara
negara-negara yang kaya dan miskin maklumat.
Sebagai contoh, kini terdapat 6.8 juta dokumen dalam World Wide Web
(WWW) tetapi 70 peratus daripada hos komputer itu berada di Amerika
Syarikat (AS). Secara tidak langsung jurang maklumat yang semakin
melebar antara negara Utara dan Selatan menjadikan negara Selatan
berdepan dengan `kemiskinan maklumat' disebabkan terbatasnya peluang
234
mendapatkannya. Di Afrika, kurang daripada 10 negara dihubungkan
dengan Internet. Wujud kebimbangan bahawa teknologi baru ini akan
melebarkan jurang antara yang `miskin' dan `kaya' maklumat.
Kos teknologi yang tinggi dalam mengendalikan Internet adalah punca
utama kepada kesukaran untuk menggunakannya. Menurut laporan yang
dikeluarkan oleh Institut Panos, sebuah pertubuhan bukan kerajaan
berpusat di London, yang khusus dalam isu pembangunan menyatakan:
"Sekurang-kurangnya 80 peratus daripada penduduk Selatan kekurangan
kemudahan asas telekom. Kos sebuah modem di India adalah empat kali
ganda lebih mahal daripada di AS. Keadaan yang sama juga berlaku di
Indonesia yang ruang ke Internetnya adalah 12 kali lebih mahal daripada
di Internet. (Berita Harian 28 Oktober 1996)
Di Malaysia, Syarikat Telekom Malaysia Berhad (STM) membelanjakan
RM100 juta untuk membeli kelengkapan Internet. Bayangkanlah
berapakah pula caj yang akan dikenakan kepada pelanggan Internetnya?
Menurut Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Datuk Leo Moggie kadar
tarif yang dicadangkan STM sebagai pembekal perkhidmatan Internet
kedua, masih tidak wajar. Tidak dinafikan kos telekomunikasi memang
tinggi. Keadaan ini diakui sendiri oleh Ketua Eksekutif Asia Connect,
Raymond Cheng dalam seminar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA),
Kuala Lumpur.
SOALAN DALAM TEKS
3. Nyatakan penggunaan kesan penggunaan Internet.
4. Apakah dimaksudkan dengan lawlessness.
5. Terangkan jenayah siber berkaitan dengan kegiatan
phishing.
6. Apakah dimaksudkan dengan bloggers "thought
leaders”
Semak jawapan anda di akhir bab ini.
Cuba anda fikirkan bagaimana jenayah siber boleh
berleluasa apabila berlaku perkembangan ICT.
235
11.7 RUMUSAN
Secara keseluruhannya hak kebebasan bersuara dan menyampaikan
pandangan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menjatuhkan
maruah seseorang, menabur fitnah atau mencemar simbol keagamaan.
Perkara itu ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan jika kebebasan tanpa sekatan wujud, bermakna tiada
tindakan undang-undang fitnah boleh diambil terhadap mereka yang cuba
menghasut dan menimbulkan keganasan etnik. Malah, orang yang paling
mencintai kebebasan di dunia ini pun tahu bahawa sebenarnya tiada
kebebasan tanpa had. Kebebasan bersuara adalah hak asas, tetapi ia bukan
mutlak.
Negara memerlukan undang-undang untuk melindungi rakyat daripada
fitnah jenayah. Ia juga memerlukan undang-undang bagi melindungi
institusi teras daripada hasutan. Undang-undang ini bukan menyekat
kebebasan tetapi ia penting supaya masyarakat hidup makmur.
Bagaimanapun, cabaran hari kepelbagaian teknologi komunikasi, daripada
asas hinggalah paling canggih kini menjadi keperluan hidup. Mengapa
tidak, banyak urusan harian boleh dilakukan dengan mudah hasil
kepesatan teknologi. Namun, tidak semua individu menjadi pengguna
teknologi mengikut kaedah ataucara betul. Tidak dinafikan, segelintir
pihak menyalahgunakan telefon bimbit dan laman sosial di internet untuk
menganiaya atau menceroboh hak peribadi orang lain dengan menipu,
mengganggu, menuduh dan menabur fitnah.
Selain faktor pengguna sendiri yang menyeleweng, gejala negatif
berhubung penyalahgunaan teknologi ini boleh berpunca daripada
kealpaan sesetengah pihak terhadap implikasi buruk andai tidak berhatihati
menggunakan teknologi. Apabila pengguna tidak menyedari etika,
batasan dan risiko penggunaan teknologi komunikasi yang digunakan,
tidak mustahil mereka sendiri akan terdedah dengan risiko menjadi pihak
dianiaya atau terjebak dalam kes penyalahgunaan teknologi.
Bagaimanapun, di Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) menjadi badan yang mempunyai kuasa serta
bertanggungjawab dalam bidang kawalan industri teknologi dan
multimedia. (Berita Harian 28 Mac 2009)
Berteraskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SKMM
bertanggungjawab melaksana dan mempromosikan dasar kerajaan dalam
sektor komunikasi dan multimedia. Suruhanjaya ini berperanan
mewujudkan rangka kerja kawalan baru terhadap setiap cabang industri
ini.
Undang-Undang
dalam Komunikasi
Marzura Ibrahim
Azahar Kasim
Adibah Ismail
Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE)
Universiti Utara Malaysia
Sintok • 2009
Thursday, June 17, 2010
Posted by MASKOR@ROSNANI ZAKARIA at Thursday, June 17, 2010 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)